suria

“Yang buat poster pun bahalol” - Sharnaaz Ahmad melenting, pereka grafik mohon maaf silap eja nama

Teguran Sharnaaz kepada pereka grafik yang tersalah eja namanya pada poster sebuah filem.

GARA-GARA kesilapan ejaan nama pada poster sebuah filem yang bakal ditayangkan pada September depan, pelakon Sharnaaz Ahmad menulis teguran secara kasar di satu akaun Instagram yang memuat naik rekaan grafik tersebut.

Menjawab mengenai kesilapan tersebut, pereka grafik dikenali sebagai Adolf Zulkarnain menerusi akaun Facebook Kukubesi Manipulasi memberitahu poster yang disebarkan di laman sosial itu hanya rekaan awal yang masih belum melalui beberapa proses suntingan dan kelulusan.

Tambahnya, poster yang disebarkan tanpa kebenaran itu hanya gambaran awal tanpa mengambil kira ejaan nama dan kredit.

ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad marah pelajar gelar cikgu 'pondan', hina guru perbuatan keji... “Shame on you girl”

"Untuk pengetahuan adik Sha (Sharnaaz), sebenarnya poster yang anda lihat itu adalah edisi bocor. Sepatutnya poster filem itu tidak boleh di muat naik lagi kepada umum kerana ia masih dalam proses kelulusan daripada pihak producer. Memang 100 peratus belum siap dan tidak sepatutnya publish kepada umum... tiba-tiba ianya terbocor!

"Kebiasaannya poster yang saya buat akan mempunyai beberapa fasa, pertamanya lakaran, kemudian kepada proposal design, semi final design. Dalam kes ini dah masuk fasa semi final yang mana selalunya saya akan minta pihak producer untuk luluskan susun atur design, konsep warna dan susun atur teks. Apabila producer dah lulus, kami hantar poster itu untuk kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF)," katanya.

Penjelasan Adolf di Facebook Kukubesi Manipulasi.

Terdahulu pada 10 Julai, Sharnaaz menegur kesilapan pada namanya di poster filem Wangi dieja sebagai 'Shahnaz Ahmad' yang dimuat naik di Instagram kelab peminat Erra Fazira @bersamaerra.

"Yang buat poster pun bahalol, nama aku tak reti nak eja ka celaka," tulis Sharnaaz.

Menjelaskan lanjut mengenai proses penghasilan poster, Adolf memberitahu rekaan yang masih belum menerima kelulusan penerbit dan LPF akan menggunakan nama rekaan (dummy) terlebih dahulu.

Setelah mendapat kebenaran dan kelulusan untuk meneruskan rekaan tersebut, barulah nama sebenar pelakon dan kru produksi diisi pada poster.

Teguran kasar yang ditinggalkan Sharnaaz di akaun Instagram @bersamaerra.

"Kalau nak tahu, ketika proses hantar ke LPF kebanyakan nama dummy termasuklah credit tittle... anda boleh lihat credit tittle dummy pun saya guna nama orang putih (nama Inggeris) punya je, ianya sebagai look and feel sahaja.

"Sebelum hantar cetak, saya akan minta final teks daripada pihak producer, seperti nama artis, syarikat, pengarah dan kru. Apabila sudah dapat, barulah masukkan dalam poster akhir sebelum dihantar ke pihak cetakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Adolf turut memohon maaf kepada Sharnaaz di atas kesilapan yang berlaku sehingga menyebabkan pelakon filem Juvana itu berasa kurang senang.

Poster rekaan awal menggunakan nama rekaan atau dummy sebelum mendapat kelulusan beberapa pihak.

"Saya sebagai pereka poster ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sharnaaz atas kesilapan menaip nama anda pada movie poster terbaru yang bakal keluar nanti sehingga membuatkan anda marah di Instagram.

"Sekiranya kesilapan nama ini sangat sensitif saya akan ambil iktibar untuk perbaiki kesilapan abang. Saya akan minta seluruh persatuan, NGO dan organisasi grafik dan seni reka seluruh Malaysia, sila hafal nama anda sekiranya ada apa-apa design poster atau flyers atau banner atau billboard yang ada nama, anda harus eja dengan betul walaupun sekadar dummy.

"Pastikan ejaan Sharnaaz Ahmad itu betul bukan seperti yang saya taip sebelum ini Shahnaz Ahmad" katanya.

Filem Wangi dibintangi Erra Fazira, Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad dan Mia Nasir.

Filem seram arahan Mohd Latif Zami ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 September depan.

Sharnaaz Ahmad

Artikel Lain