suria

“Arwah hembus nafas terakhir dalam dakapan adik bongsu” - Bapa mentua Achey meninggal dunia

Achey menganggap arwah bapa mentuanya seorang yang disenangi dan suka bergurau.

PELAWAK dan penyanyi Achey berkongsi berita sedih mengenai bapa mentuanya, Yahya, 64, yang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.20 malam, Khamis selepas mengalami sesak nafas di kediamannya yang terletak di Tangkak, Johor.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 33, berkata bapa mentuanya itu menghembuskan nafas terakhir ketika dalam dakapan adik bongsu isterinya, Mohd Shafiey.

"Sebelum itu arwah mengadu sesak nafas. Kami sekeluarga terutama adik bongsu isteri saya yang selama ini menjaganya reda dengan pemergian arwah.

"Shafiey juga bersyukur apabila arwah menghembuskan nafas terakhir dalam dakapannya dan pemergian arwah juga dalam keadaan yang tenang dan mudah," katanya kepada mStar.


Achey berkongsi berita sedih itu menerusi Instagramnya.

Menurut Achey, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan pada pukul 10 pagi, Jumaat.

Tambah Achey, bapanya mempunyai masalah saluran darah tersumbat di bahagian kaki sehingga memberi kesan pada buah pinggang dan organ dalaman lain.

Bagaimanapun, keadaan bapanya dilihat semakin baik selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun lalu.

"Arwah ada masalah saluran darah tersumbat di bahagian kaki sehingga menyebabkan kaki dia mereput kering.

Foto kenangan Allahyarham Yahya bersama isterinya.

"Selepas hari raya, kesihatannya bertambah baik, kulit kaki pun dah tumbuh dan boleh berborak tapi apakan daya... sudah sampai masanya," ujarnya.

Dalam pada itu, Achey memohon maaf kerana tidak dapat membuat persembahan bersama kumpulan Botak yang dianggotai Abam dan Black di program Muzikal Lawak Superstar yang berlangsung pada malam, Jumaat.

"Saya mohon maaf sebab tak dapat turut serta dalam persembahan malam ini. Sebenarnya, saya dapat berita mengenai bapa mertua saya ketika sedang berlatih bersama Abam dan Black.

"Saya berterima kasih kepada mereka sebab selepas saya dapat berita itu, saya terus balik... mereka pun ikut sekali. Sempat juga mengubah semula jalan cerita untuk persembahan mereka berdua orang sahaja," ujarnya.

Achey, Botak, Abam, Black Hanafiah

Artikel Lain