suria

Nadya Syahera trauma restoran terbakar depan mata... “Tiba-tiba gas menyembur keluar dan terus menyambar api”

Nadya terkejut kedai makan miliknya dan suami terbakar akibat kebocoran gas.

MALANG tak berbau apabila kedai makan milik pelakon Nadya Syahera dan suaminya, Fizul Nawi yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam terbakar kira-kira pukul 10.15 malam, Khamis.

Menurut Nadya, 26, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya harap dia betul-betul berubah” - Nadya Syahera beri peluang kedua, minta netizen henti kecam suami

Walaupun insiden itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan teruk, Nadya bagaimanapun memberitahu salah seorang pekerjanya melecur di tapak tangan akibat cubaan untuk menarik keluar tong gas daripada meletup.

Telapak tangan pekerja Nadya melecur akibat menarik keluar tong gas.

"Kejadian berlaku ketika pekerja saya mahu menukar tong gas baharu. Apabila dia buka penutup tong, tiba-tiba gas menyembur keluar dan terus menyambar api dari kawasan dapur.

"Suami saya dan pekerja lain cuba untuk memadam api yang sedang marak tapi tak berjaya sebab gas terlalu banyak. Ada pula seorang pekerja saya ini jenis melatah dan apabila dia dengar orang jerit suruh tarik tong gas, dia pun terus berlari masuk ke dalam untuk tarik.

"Akibat daripada itu, tapak tangan kanannya melecur teruk. Nasib baik juga gas itu tak meletup ketika dia cuba tarik keluar," kata Nadya kepada mStar.

Nadya dan suaminya turut memuat naik video detik cemas ketika restoran mereka, The Golok Cafe, terbakar menerusi laman Instagram masing-masing.

Nadya berkongsi video kejadian yang berlaku.

Susulan kejadian itu pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad ini dan suaminya membawa pekerja yang mengalami kecederaan itu ke hospital bagi menerima rawatan.

Dalam pada itu, biarpun terkejut dan trauma namun Nadya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dan kebakaran itu tidak melibatkan kediaman penghuni di atas kedainya.

"Saya masih lagi terkejut dan trauma sebab kebakaran itu berlaku betul-betul depan mata saya tapi apa-apa pun saya bersyukur semua pelanggan yang ada ketika itu tidak mengalami kecederaan.

"Nasib baik juga bomba sempat memadam api sebelum marak ke rumah atas kedai makan kami. Kerosakan hanya di ruang masak di hadapan kedai sahaja," ujarnya.

Nadya Syahera, Fizul Nawi

Artikel Lain