suria

Peminat teruja foto mesra Mimi Lana dengan Syafiq Kyle “Tak perlu tanya lebih-lebih, beritahu umum itu dah memadai”

Mimi muat naik foto bersama Syafiq hanya untuk mempromosikan drama lakonan mereka.

PELAKON Mimi Lana menjelaskan foto dia memeluk Syafiq dari belakang yang dimuat naik di Instagramnya bertujuan untuk mempromosikan drama lakonan mereka, Bukan Cinta Aku.

Mimi, 24, berkata, ia mendapat perhatian apabila peminat berasa teruja selepas Syafiq berkongsi mengenai hubungan istimewa mereka kepada media baru-baru ini.

"Sebenarnya foto itu dirakam ketika kami menjalani penggambaran sebuah drama dan hanya untuk promosi drama lakonan kami sahaja.

"Dalam pada masa yang sama, orang dah tahu fasal kami walaupun sebenarnya bukan kali pertama saya muat naik gambar bersama.

Mimi dan Syafiq sudah mengenali lebih rapat sejak empat tahun lalu.

"Mungkin sebab selepas kenyataan Syafiq itu, peminat menjadi teruja apabila melihat gambar tersebut," kata Mimi kepada mStar.

Mimi ditemui ketika malam Anugerah Stail Eh! yang diadakan di Hotel EQ, Equatorial Plaza, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Syafiq menerusi video temu bual bersama mStar pada 4 Jun lalui mengakui dia tidak berniat untuk menyembunyikan hubungan istimewa dengan Mimi.

Kata pelakon drama Nur ini, dia enggan terlalu banyak berkongsi mengenai kisah peribadi kepada umum kerana beranggapan bukan semua orang ingin mengambil tahu hal tersebut.

Mimi enggan kisah peribadi mendapat perhatian lebih berbanding kerjaya.

Dalam pada itu, Mimi meminta semua pihak tidak lagi bertanya lebih lanjut mengenai hubungan istimewanya dengan pelakon Syafiq Kyle.

Kata pemilik nama Mimi Rozaiana Zainal Abidin ini, dia tidak mahu kisah peribadi mereka lebih mendapat perhatian berbanding kerjaya.

"Saya rasa tak sepatutnya orang bertanya banyak lagi mengenai benda itu (hubungan). Bagi saya, kami buat keputusan untuk beritahu umum itu dah memadai.

"Jadi, mungkin sudah tidak perlu lagi untuk bertanya lebih-lebih sebab kenyataan Syafiq pun dah cukup untuk semua orang faham.

"Lagipun saya tak nak mengulas lebih panjang sebab tak nak besarkan hal ini sebab takut benda ini lebih dapat perhatian daripada karier kami," ujarnya.

Mimi Lana, Syafiq Kyle

Artikel Lain