suria

Wany Hasrita dapat panggilan haji, sedih tak dapat bawa ibu

Wany sedih hajat untuk membawa ibunya menunaikan ibadah haji tidak kesampaian.

PENYANYI Wany Hasrita meluahkan rasa sedih apabila hasrat untuk membawa ibunya iaitu Norita Jaafar, 48, menunaikan ibadah haji pada musim ini tidak kesampaian.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, berkata, ibunya itu tidak dapat bersama-sama mengerjakan rukun Islam kelima itu kerana datang bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu nyaris tukar Wany Hasrita kepada bayi lain kerana tak henti menangis

ARTIKEL BERKAITAN: Wany Hasrita jadi takut, fobia menyanyi 'live' dalam program TV

“Perasaan ketika ini bercampur baur. Rasa sedih sangat sebab tak dapat bawa ibu dan ahli keluarga juga tiada bersama.

“Pada awalnya saya berhasrat nak bawa ibu tetapi ibu tak dapat pergi kerana masalah wanita. Jadi ibu cadangkan untuk pergi dengan orang yang betul-betul boleh solat. Tak tahu kenapa, nama Amira Othman muncul dalam fikiran. Mungkin rezeki Amira.

Wany merancang untuk membawa keluarganya menunaikan Umrah awal tahun depan.

“Memang impian setiap anak untuk bawa ibu bapa menunaikan haji. Malah dah dalam perancangan sepatutnya saya bawa keluarga pergi kerjakan umrah akhir bulan November ini. Tetapi rezeki saya pergi dahulu. Umrah itu akan ditangguh pada awal tahun hadapan,” ujarnya kepada mStar.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Menahan Rindu ini berkata, dia tidak pernah menyangka mendapat jemputan istimewa daripada kedutaan Arab Saudi untuk menunai ibadah haji dan menyambut Aidiladha di sana.

“Sebenarnya ia bermula daripada seorang penasihat media di mana setiap tahun ada kuota khas yang ditawarkan kepada media dari seluruh negara. Kebetulan nama saya dicadangkan oleh seseorang yang saya kenali.

“Saya tak tahu kenapa nama saya disebut olehnya... mungkin ia adalah rezeki saya dan saya hanya dimaklumkan dua hari sebelum tarikh kami berlepas. Saya pun reda sahaja.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya dipermudahkan dan visa kami juga diluluskan,” katanya.

Wany (kiri) ditemani rakannya yang juga penyanyi Amira Othman (kanan) ke tanah suci Mekah.

Bercerita mengenai perasaannya, Wany berkata dia begitu teruja untuk menjejakkan kaki buat pertama kali di sana.

Selain itu, Wany memaklumkan dia sedang sibuk membuat persiapan bagi menunaikan ibadah haji termasuk bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana, saya belum pernah menunaikan umrah pun sebelum ini.

Mana pernah orang dapat tawaran macam ni... memang ditanggung seratus peratus

WANY HASRITA

Penyanyi

“Daripada segi fizikal rasanya sudah bersedia walaupun sekarang ini saya mengalami selesema. Tetapi dari segi mental pada awalnya bagaikan tak percaya. Mujur orang disekeliling memberi dorongan untuk pergi terutamanya ibu. Mana pernah orang dapat tawaran macam ni... memang ditanggung seratus peratus.

“Saya tak tahu-menahu soal kos kerana semuanya diuruskan pihak kedutaan. Cuma mereka ada maklumkan penerbangan saya adalah kelas bisnes dan hotel pula di Clock Royal Tower,” katanya.

Wany memaklumkan dia akan ditemani rakannya yang juga penyanyi Amira Othman dan mereka dijadualkan berlepas pada pukul 4 petang Rabu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Makkah dan akan kembali ke tanah air pada 16 Ogos ini.

Wany Hasrita, haji

Artikel Lain