suria

“Saya terpaksa didik diri untuk jadi jahat” - Azar Azmi rujuk 'Maleficient' demi watak antagonis

Azar mengakui gementar untuk beraksi di pentas teater Pawana Isabella.

PELAKON Azar Azmi mengakui gementar untuk memegang watak antagonis sebagai permaisuri Tishaku melalui pementasan teater Pawana Isabella arahan Erma Fatima.

Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 30, berkata, dunia teater yang dianggap asing baginya cukup sukar namun bersedia mencabar diri kerana menganggap ia sebagai peluang keemasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Azar Azmi Tidak Ralat Lambat Raih Populariti

ARTIKEL BERKAITAN: Buat 'style' kucing, nak bayar RM150 - Azar Azmi terima mesej lucah daripada penonton

"Takut sebenarnya… cabaran untuk membawa watak permaisuri Tishaku ini berbeza dengan watak jahat yang saya bawakan sebelum ini.

"Berlakon drama, kalau salah kita boleh cut tetapi kalau teater... ia lebih kepada menghafal. Untuk teater ni saya perlu hafal kesemua 30 babak.

Azar bakal bergandingan dengan Janna Nick menerusi teater Pawana Isabella.

"Kerana ini merupakan pengalaman teater pertama saya, serba-serbi susah. Ia seolah-olah saya memasuki dunia yang lain berbanding drama. Ini antara peluang yang takkan dilepaskan," katanya kepada mStar.

Tambah aktres yang memegang watak Juita menerusi drama Nur 2 ini, dia juga merujuk filem Hollywood, Maleficient bagi menjayakan watak berkenaan.

"Masa mula-mula dapat panggilan daripada kak Erma, saya terdiam, tergamam. Tak dapat nak beri jawapan. Sehingga saya terpaksa diyakinkan oleh pengurus bahawa ianya adalah serius,  saya rasa ini peluang yang tak semua orang dapat.

Ianya tidak mudah. Saya terpaksa didik diri untuk jadi jahat. Ia seolah-olah tempias kepada diri untuk membawa roh permaisuri itu ke dalam jiwa.

AZAR AZMI

Pelakon

"Ianya tidak mudah. Saya terpaksa didik diri untuk jadi jahat. Ia seolah-olah tempias kepada diri untuk membawa roh permaisuri itu ke dalam jiwa.

"Untuk memastikan watak ini berjaya dibawa, saya rujuk watak Maleficient," katanya.

Teater Pawana Isabella arahan Erma Fatima ini bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 21 hingga 31 Ogos ini.

Teater ini bakal menampilkan barisan pelakon seperti Janna Nick yang memegang watak sebagai Permaisuri Isabella, bergandingan dengan Syafiq Kyle, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Ziela Jalil dan Datin Paduka Umie Aida.

Azar Azmi, Pawana Isabella

Artikel Lain