suria

100 selebriti popular riuhkan konti Suria

Aliff Satar, Nabila Razali dan Ismail Izzani antara artis undangan menyerikan konto Suria FM.

SERAMAI 100 selebriti popular dijemput memeriahkan stesen radio Suria sempena kempen 100 Selebriti Suria yang bermula pada 5 Ogos lalu.

Menurut Pengurus Program Suria, DJ Lin atau nama sebenar Roslinda Abdul Majid, kehadiran selebriti ini memberi peluang kepada pendengar mengetahui perkembangan terkini mereka secara langsung.

Malah, peminat juga dapat berkomunikasi dan bertanyakan sebarang soalan mengenai artis kegemaran mereka itu secara langsung dengan menghubungi talian Suria.

"Kempen 100 Selebriti Suria ini adalah kesinambungan daripada kempen 100 Selebriti Suria yang diadakan pada tahun lepas. Suria mendapat banyak respons positif daripada pendengar terhadap kemeriahan artis-artis ke udara menerusi Suria dan mereka mencadangkan agar kempen ini diteruskan.

DJ Lin.

"Kami tidak menyangka kempen ini meninggalkan kesan kepada pendengar dan peminat Suria, dan tentunya kempen kali ini akan menampilkan variasi selebriti yang akan menarik ramai peminat mendengarkan Suria.

"Bukan itu sahaja, kempen ini turut mendapat reaksi positif daripada rakan-rakan artis yang teruja untuk menjadi sebahagian daripada 100 Selebriti Suria dan berkongsi promosi di media sosial masing-masing bagi menarik peminat mendengarkan temu bual mereka di Suria," katanya kepada mStar.

Sebelum ini, artis yang diundang pada minggu pertama bulan Ogos adalah Dayang Nurfaizah, Nabila Razali, Alif Satar, Rashidi Ishak, Black Hanifah, Ismail Izzani, Shila Amzah, Sharifah Zarina, Yazid Sejati, Man Bai dan Shafie Rio.

Kempen 100 Selebriti Suria ini menampilkan kombinasi barisan selebriti seperti penyanyi lama dan baharu, pelakon, pelawak dan juga pengarah. 

Senarai artis undangan untuk kempen 100 Selebriti Suria minggu ini.

Seorang selebriti akan ke udara pada setiap slot utama seperti Team Pagi Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta. Maklumat lengkap mengenai senarai artis undangan boleh layari laman sesawang www.suria.my.

Dalam perkembangan lain, Suria akan meneruskan Jelajah Suria untuk siri kedua tahun 2019.

Ia bakal memulakan jelajah di Central i-City Mall, Shah Alam pada 7 September diikuti Kuantan City Mall, Pahang (14 September), Angsana Mall, Johor Bahru (21 September) dan Aman Sentral, Alor Setar, Kedah pada 28 September depan.

Selain beramah mesra bersama penyampai Suria iaitu Fizi Ali, Issey, Feeya Iskandar, Sharifah Shahira, Suraya, Tyzo dan DJ Lin, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Amir Masdi, Wany Hasrita, Ara Johari, Floor 88 dan Ernie Zakrie.

Suria FM, DJ Lin

Artikel Lain