'COMEBACK' penyanyi Misha Omar menerusi lagu Sampai Bila cukup memberi impak yang besar terhadap karier seninya sehingga menarik perhatian peminat berbilang bangsa. Menurut Misha, 37, dia semakin dikenali dalam kalangan pendengar bukan Melayu dan teruja apabila persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini turut disertai peminat berbangsa Cina dan India. "Saya akui impak populariti Sampai Bila apabila ada pengalaman semasa menjamu selera di sebuah restoran tiba-tiba satu famili Cina tegur dan kenal. ARTIKEL BERKAITAN: Usia dah meningkat, Misha Omar tak suka tekanan "Dia tanya saya penyanyi ke dan minta bergambar. Semenjak itu terpaksalah belajar pakai lipstik, sebab kalau tak... muka pucat saja. Apa yang boleh saya kata, sekarang mereka (bangsa lain) semakin nampak. "Semasa persembahan di DFP juga saya perhati ramai penonton kaum Cina dan India, mereka tegur dan melambai saya. Ada juga orang Brunei dan Singapura. Alhamdulillah," katanya kepada mStar. Misha sentiasa menghargai sokongan peminat. Pada Isnin lalu, Misha menjayakan konsert solo sulungnyaThis Is Misha - Live At DFP di lokasi berprestij itu selama 90 minit. Misha atau nama sebenar Samiha Omar ini memilih lapan lagu termasuk dua medley. Antara lagu yang dinyanyikan ialah Sampai Bila, Nafas Cahaya, Dedebu Cinta, Jawapanmu dan Bunga-bunga Cinta sebagai penutup. Pada awal persembahan pula, Misha memilih membawakan ‘medley’ Cinta Adam & Hawa serta Sembunyi. Awalnya saya seperti tidak percaya dengan sambutan yang diberikan apabila tiket habis dijual dalam masa singkat! Misha Omar Penyanyi Empat lagi lagu yang turut digabungkan adalah runut lagu filem Pontianak Harum Sundal Malam iaitu Pulangkan dan Ku Seru serta Semoga Abadi dan Riwayat Cinta. Berdurasi 90 minit, peminat tidak puas menonton persembahan dan vokal mantap Misha dan menginginkan dia kembali dengan konsert yang lebih besar. Dalam pada itu, Misha berkata dia turut terkejut apabila tiket konsert berkenaan habis dijual dalam masa 18 jam sahaja. Mengakui terharu dengan sokongan peminat, Misha meluahkan rasa terima kasih dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk untuk mereka. Misha Omar tidak dapat menahan sebak semasa membuat persembahan di hadapan kira-kira 900 orang peminat. "Awalnya saya seperti tidak percaya dengan sambutan yang diberikan apabila tiket habis dijual dalam masa singkat. Bukannya tidak yakin dengan peminat kerana tahu mereka sayang saya. "Kalau ada yang cakap saya bukan yang terbaik pun, saya tidak marah kerana sehingga kini masih berusaha untuk jadi yang terbaik. "Dalam industri, kita ada Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain. Saya berharap, suatu hari nanti nama saya turut berada dalam senarai itu,” katanya. Persembahan Misha pada malam itu dibawah bimbingan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS bersama iringan pemuzik iaitu Ude Wahid, Jenk Ali, Penn, Iju Omar serta penyanyi latar Mattao dan Ajude.