suria

“Kenapa tak tanya Janna atau Syafiq Kyle?” - Johan dan Ozlynn nafi dibayar RM160,000 berlakon teater

Ozlynn terkejut nama Johan dikaitkan sebagai artis yang menerima bayaran sebanyak RM160,000 untuk menjayakan sebuah teater.

PELAKON Ozlynn terkejut dengan tuduhan bahawa suaminya, Johan meletakkan harga tinggi bagi membintangi sebuah teater yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya tidak lama lagi.

Menurut Ozlynn, tuduhan itu tidak berasas kerana watak yang mereka bawa menerusi teater berkenaan hanyalah watak sampingan dan bukannya watak utama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada pakej buy one free one atau seorang setengah” - Johan dan Ozlynn tak main kongsi-kongsi, ada harga sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan jadi perosak, beli jiwa mereka”- Ozlynn akui Johan mahir dalami hati anak-anak

"Kalau ada di antara artis yang berlakon dalam teater ini dan mendapat bayaran RM160,000, ia hanya spekulasi dan tiada bukti yang kukuh mengatakan artis itu menerima bayaran sebanyak itu.

"Kenapa tak tanya pada Janna atau Syafiq? Sebab mereka berdua leading (pelakon utama) teater itu. Kami supporting (watak sampingan) sahaja. Dialog tak banyak. Lagipun suami saya hanya penyampai radio sahaja.

"Netizen boleh cakap apa sahaja... Kalau mereka cakap begitu, saya anggap ia satu doa. Mana tahu kalau betul-betul mereka bayar kami RM160,000... ia rezeki anak," ujarnya kepada mStar.

Antara respon yang ditinggalkan netizen di media sosial.

Nama Johan dikaitkan sebagai artis yang menerima bayaran sebanyak RM160,000 bagi menjayakan Pawana Isabella yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada pada 21 hingga 31 Ogos depan.

Jumlah itu bagaimanapun dipertikaikan sesetengah pihak yang beranggapan nilainya terlalu tinggi dan tidak sesuai dengan bakat lakonan dimiliki pelawak itu.

Selain itu, Ozlynn turut menyelar tindakan netizen yang membandingkan bayaran diterima artis baharu dan pelakon veteran.

Kenapa bila artis tempatan dibayar RM160,000 mereka beria-ia nak pertikai kan? Sedangkan artis Kpop sanggup bayar untuk nilai USD, kenapa netizen tak mahu pertikaikan?

OZLYNN

PELAKON

Menurutnya, seseorang pelakon itu layak dibayar dengan nilai yang lebih mahal, setimpal dengan situasi dan keadaan semasa memandangkan peranan artis dalam promosikan teater di media sosial untuk menarik penonton.

"Kenapa nak bandingkan pelakon dahulu dengan sekarang? Zaman berubah... malah setiap benda ada kemajuan. Ia ibarat besar periuk, besarlah keraknya. Kalau nak jual tiket dengan cara yang mudah adalah menggunakan artis yang popular untuk buat promosi, review. Pada saya, harga RM160,000 itu berbaloi lah untuk dibayar kepada artis itu.

Ozlynn dan Johan bakal membintangi teater di Panggung Sari, Istana Budaya.

"Zaman dahulu pelakon tiada media sosial untuk menghebahkan sesuatu perkara itu. Kita nak tahu fasal artis, kita kena beli majalah. Pokoknya, ia bergantung kepada situasi dan keperluan. Tapi kalau ada artis lain yang pertikaikan bayaran itu, kami tak boleh nak cakap apa pun... mereka tahu artis dibayar ikut populariti.

"Cuma saya pelik kenapa bila artis tempatan dibayar RM160,000 mereka beria-ia nak pertikai kan? Sedangkan artis Kpop, artis luar negara datang ke sini, sanggup bayar untuk nilai USD, kenapa netizen tak mahu pertikaikan?" katanya.

Dalam pada itu, Johan menganggap bayaran RM160,000 adalah tinggi dan hanya pelakon utama yang layak menerima jumlah terbabit.

"Saya rasa RM160,000 itu termasuk bayaran untuk semua pelakon kot. Takkan untuk saya.

"Lagipun Syafiq Kyle antara pelakon yang ada dialog paling panjang dan Janna sebab dia ada banyak scene dalam teater itu nanti.

"Sebelum ini saya tak pernah mendedahkan berapa mereka bayar dekat saya. Tak kisahlah siapa pun artis yang dapat RM160,000, kami anggap ia rezeki artis itu," katanya.

Johan, Ozlynn, bayaran

Artikel Lain