suria

“Tak ada makna nak pegang-pegang tangan dia” - Ernie Zakri ulas komen kena 'friendzone' dengan Syamel

Ernie tiada niat untuk memegang tangan Syamel seperti yang diperkatakan netizen di laman sosial.

PENYANYI Ernie Zakri menegaskan dia tidak berniat untuk memegang tangan pasangan duet nyanyiannya, Syamel seperti yang diperkatakan segelintir netizen di laman sosial.

Menurut pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, dia hanya ingin menegur Syamel yang tidak turut menyanyikan lagu One Sweet Day bersama-sama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mark Adam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Macam friendzone, Ernie nak pegang tangan Syamel tapi tak disambut” - Netizen terhibur persembahan ulang tahun perkahwinan Siti Nurhaliza

"Saya bukan nak pegang tangan Syamel pun. Ketika kami semua menyanyi dan lagu itu sudah masuk bahagian korus tapi Syamel pula tak ikut serta menyanyi sekali.

"Jadi, saya tegur la dia untuk menyanyi dengan Datuk Seri Siti dan Mark Adam. Kalau perasan Syamel tak menyanyi dan hanya pegang mikrofon itu sahaja.

Syamel dan Ernie antara rakan selebriti yang memeriahkan majlis ulang tahun perkahwinan Siti Nurhaliza dan suaminya.

"Sejujurnya, bukan nak pegang tangan dia tapi bermaksud nak minta dia terus menyanyi sekali. Tak ada makna atau istilah saya nak pegang-pegang tangan dia," kata Ernie kepada mStar.

Aksi spontan Ernie seakan ingin memegang tangan Syamel namun ditepis penyanyi lagu Kau Pun Sama menerusi video yang dimuat naik Datuk Seri Siti Nurhaliza di Instagram mencuri perhatian pengikut di laman sosial.

Rata-rata netizen terhibur melihat tindakan Syamel yang tidak memberi sebarang respon terhadap permintaan Ernie dan meneruskan nyanyian seperti biasa.

Perkongsian rakaman pendek persembahan nyanyian empat penyanyi itu dirakam ketika ulang tahun perkahwinan Siti Nurhaliza yang ke-13 pada Selasa.

Majlis secara bersederhana itu telah diadakan di kediaman penyanyi lagu Anta Permana dan dihadiri keluarga serta rakan-rakan terdekat sahaja.

Dalam pada itu, Ernie memberitahu sedar dengan beberapa komen netizen namun menegaskan perkara tersbeut bukan seperti mereka fikirkan.

"Saya memang ada terbaca beberapa komen tapi biasalah peminat, mungkin video tu boleh menghiburkan mereka. Tapi tidak, saya tak kan nak saja-saja pegang tangan Syamel macam itu.

"Tapi aksi itu nampak kelakar la sebab nampak Syamel macam tak nak pegang tangan saya. padahal, benda itu bukan seperti yang dilihat netizen," ujarnya.

Artikel Lain