suria

Anak Ali Puteh alami masalah injap jantung terbalik - “Jika ada rezeki menang MLS 2019, duit itu untuk rawatan anak”

Ali berharap peminat terus mendoakan keadaan kesihatan anak keduanya.

BIARPUN kelihatan tenang ketika membuat persembahan di atas pentas Muzikal Lawak Superstar 2019 (MLS 2019), namun tiada siapa tahu pengorbanan yang terpaksa dilakukan pelawak Ali Puteh.

Menurut Ali, dia perlu meneruskan perjuangan di pentas dalam keadaan bayinya kini bertarung nyawa akibat mengalami masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ni ke orang tua mulut celupar tu?” - Netizen puji Abam Bocey cari sampai dapat individu pertikai DNA anak

"Atas pentas saya perlu melakukan yang terbaik untuk bertahan dan tak boleh tunjukkan kesedihan sebab ia pertandingan.

Ali berkongsi video keadaan kesihatan anaknya untuk peminat.

"Saya perlu kuat demi anak saya yang kini masih di hospital akibat mengalami masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.

"Isteri minta saya teruskan kerja. Jika ada rezeki menang, duit itu untuk rawatan anak, itulah punca kekuatan saya," katanya kepada mStar.

Anak keduanya, Sharifah Ainul Mardhiah kini masih di bawah pemerhatian dan rawatan di Hospital Ampang.

Sebelum ini, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan memberitahu anaknya dilahirkan secara normal di Pusat Rawatan Islam Kohilal, Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.

Saya sangat-sangat terharu dengan sokongan dan doa daripada peminat sebab itu saya kongsi video keadaan anak saya di IG untuk mereka.

Ali Puteh

Pelawak

Bagaimanapun, pada hari kelima anaknya disahkan menghidap jaundis dan dipindahkan ke Hospital Ampang pada 12 Ogos lalu.

Pembedahan untuk masalah yang dihadapi Sharifah Ainul hanya boleh dilakukan apabila berat bayinya mencecah 4 kilogram.

Ali dan isterinya Melati Fitri Abdullah turut mempunyai seorang lagi cahaya mata bernama Sharifah Nur Aaira Qaireenrusia yang kini berusia dua tahun.

Dalam pada itu, Ali yang juga ahli kumpulan Puteh meluahkan rasa terharu dengan sokongan dan doa daripada peminat.

Sebelum melakukan persembahan, Ali akan 'video call' bersama keluarganya.

Pelakon Idzham Ismail turut menghubungi Ali untuk berkongsi pengalaman ketika anaknya Nur Sofea Inara menghidap komplikasi jantung pada Jun 2017.

"Saya sangat-sangat terharu dengan sokongan dan doa daripada peminat sebab itu saya kongsi video keadaan anak saya di IG untuk mereka.

"Idzham pun ada hubungi saya sebab dia sebelum ini pernah melalui situasi yang lebih kurang sama dengan saya tapi anak menghidap masalah komplikasi jantung," ujarnya.

Ali Puteh, Idzham Ismail

Artikel Lain