suria

Amira Othman diuji di Makkah, kaki rasa sakit... “Sebelum buat ibadah, saya berdoa supaya dipermudahkan”

Amira seronok dapat berkongsi ilmu bersama Wany sepanjang mereka mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.

PENYANYI Amira Othman berkongsi pengalaman sepanjang menunaikan ibadah haji baru-baru ini apabila dia diuji dengan kesakitan di bahagian kaki.

Namun Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 26, menyifatkan ia hanya ujian kecil untuknya agar lebih menghayati kebesaran Allah sepanjang sembilan hari berada di Tanah Suci Makkah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan buat pandai, Amira Othman rujuk ustaz dulu sebelum jawab soalan agama

"Pengalaman yang memang menyeronokkan, sembilan hari itu rasa macam tak cukup. Ia satu pengalaman yang saya tidak akan dapat di tempat lain.

"Sebenarnya apabila berada di sana, saya terlalu banyak berjalan menyebabkan kaki sakit. Tapi setiap kali nak melakukan ibadah hilang terus rasa sakit itu.

Amira anggap pengalaman tunai haji sangat menyeronokkan.

"Setiap kali sebelum saya nak buat ibadah, saya berdoa supaya dipermudahkan dan Alhamdulillah... doa dimakbulkan," katanya kepada mStar.

Amira sebelum ini meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka apabila rakan selebriti, Wany Hasrita mengajaknya menunaikan rukun Islam kelima itu bersama-sama selepas menerima jemputan khas daripada kerajaan Arab Saudi.

Rezeki untuk ke Makkah bagi menunaikan haji berpihak kepada Amira disebabkan ibu Wany, Norita Jaafar tidak dapat turut serta.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Mimpi Indah ini mengakui dia pada awalnya mempersoalkan kemampuan dirinya namun bersyukur dapat melaksanakan ibadah haji dengan baik.

Amira tidak menyangka dapat menunaikan ibadah haji bersama Wany.

Malah, Amira turut menasihati golongan muda yang yang berkemampuan untuk menunaikan ibadah haji atau umrah agar mengikis rasa takut dan bimbang.

"Sebelum nak pergi itu macam-macam saya fikir sama ada boleh ke nak lakukan dengan baik... cukup atau tidak ilmu saya nak ke sana? Tapi apabila berada di sana, Alhamdulillah segalanya dipermudahkan.

"Untuk gadis-gadis muda yang simpan hasrat nak ke Makkah... jangan risau atau jangan takut dan jangan pernah rasa tidak bersedia. Niat saja dalam hati sebab kita nak buah ibadah.

"Insya-Allah, Allah akan beri jalan dan permudahkan urusan kita," ujarnya.

Amira Othman, Wany Hasrita

Artikel Lain