PELAKON Syafiq Kyle memberitahu dia tidak pernah berniat untuk 'merampas' tempat pelakon teater selepas menjayakan pementasan Malayu-Pawana Isabella sepanjang minggu lalu. Pemilik nama Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 27, ini berkata dia menganggap pertikaian pemilihannya itu sebagai cabaran untuk dirinya melakukan yang terbaik. ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa tak tanya Janna atau Syafiq Kyle?” - Johan dan Ozlynn nafi dibayar RM160,000 berlakon teater "Tiada istilah saya 'rampas' tempat pelakon teater. Saya percaya Erma ada sebab tersendiri memilih saya yang hanya pelakon komersial menerajui teater itu. Pemilihan Syafiq dan Janna sebagai teraju utama teater Malayu-Pawana Isabella dipertikaikan segelintir pihak. "Saya tahu ada kalangan orang teater pun tertanya-tanya mengenai pemilihan saya tapi bagi saya, sama juga ada pelakon teater yang diberi peluang untuk berlakon dalam drama di kaca TV. "Saya anggap pihak yang mempersoalkan itu sebagai satu cabaran dan Alhamdulillah, pementasan pun berjalan dengan baik," katanya kepada mStar. Syafiq diminta mengulas mengenai kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan pemilihannya sebagai teraju utama pementasan tersebut. Teater arahan Erma Fatima bersama pengarah muda Naqiu Ariffin yang mula dipentaskan pada 21 hingga 31 Ogos lalu menerima sambutan yang baik. Dalam pada itu, pelakon drama Bukan Cinta Aku ini memberitahu dia mempunyai asas dalam lakonan memandangkan pernah mengikuti jurusan tersebut. Syafiq seronok dapat menambah ilmu pementasan. Menurut Syafiq, dia melihat pembabitannya dalam pementasan itu memberi ruang dan peluang untuknya menambah ilmu. "Saya sebenarnya ada asas dalam lakonan kerana pernah mengikuti jurusan lakonan di Universiti Teknologi Mara sebelum menceburi dunia hiburan tanah air. "Bagi saya, pembabitan saya dalam teater ini dapat menambahkan ilmu dalam bidang lakonan serta pementasan. "Apapun, saya melihat setiap kritikan untuk terus memperbaiki prestasi lakonan dari semasa ke semasa," ujarnya. Dalam pada itu, pementasan teater Pawana Isabella yang mendapat sambutan akan disambung persembahannya pada 13 hingga 16 September ini bersempena dengan Hari Malaysia. Teater bangsawan itu telah berlangsung pada 21 Ogos lalu turut dibintangi oleh Janna Nick, Azar Azmi, Datuk Adflin Shauki, Ozlynn Wati, Johan Raja Lawak dan Datuk Ziela Jalil.