suria

Sharnaaz Ahmad masih sayang, tukar fikiran enggan cerai Nabila

Hakim Syarie, Ahmad Muttaqi Ismail menetapkan 30 Oktober depan bagi memutuskan mengenai status rumah tangga Sharnaaz dan Nabila.

PELAKON Sharnaaz Ahmad enggan menceraikan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor kerana ingin menyelamatkan rumah tangga yang mereka dibina sejak dua tahun lalu.

Sehubungan itu Hakim Syarie, Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan satu jawatankuasa pendamai (JKP) dibentuk pada 30 September bagi mencari penyelesaian dalam kes tuntutan cerai pasangan ini.

Ketika prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu, peguam defendan iaitu Akhbar Din Abdul Kader memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan tuntutan perceraian yang difailkan Nabila, 34.

ARTIKEL BERKAITAN: “Beri kami ruang untuk lalui proses ini dengan sabar” - Noor Nabila sahkan fail cerai terhadap Sharnaaz Ahmad

ARTIKEL BERKAITAN: “Kosong! Pertama kali saya tak dapat ungkap perasaan sendiri” - Isu isteri fail perceraian, Sharnaaz bimbang kenyataan keruhkan keadaan

Bagaimanapun peguam Azmi Mohd Rais yang mewakili Nabila selaku plantif memberitahu bahawa ketika proses perbincangan, Sharnaaz, 34, bersetuju dengan tuntutan cerai yang difailkan pada 27 Ogos lalu.

Pasangan ini mempunyai seorang anak lelaki diberi nama Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Menerusi permohonan penceraian itu, Nabila berkata dia dan Sharnaaz sudah tinggal berasingan sejak Februari lalu susulan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Malah Nabila turut menyatakan pihaknya cuba mencari jalan penyelesaian termasuk melalui keluarga kedua-dua pihak namun tidak berjaya.

Nabila memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Menerusi laporan mStar pada 20 Mei lalu, Sharnaaz memberitahu hubungan rumah tangganya dengan Noor Nabila Mohd Noor dalam proses pemulihan.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata dia lebih mengutamakan anak lelakinya Jebat Jayden Ahmad yang ketika itu mengalami jangkitan saluran kencing sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Sharnaaz ketika ditemui mStar memberitahu apa jua yang terjadi pada rumah tangga mereka selepas ini,  keutamaannya tetap pada anak lelakinya itu.

Sebelum ini timbul desas desus kononnya perkahwinan Sharnaaz dan Nabila berdepan masalah, namun perhubungan mereka dilihat kembali pulih sejak Februari lalu.

Pasangan terbabit yang mendirikan rumah tangga melalui sebuah majlis yang meriah pada 31 Mac 2017 dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Jebat Jayden, Ogos tahun lalu.

Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila

Artikel Lain