suria

“Pernah buang ketika usia 16 tahun, namun tumbuh semula di tempat sama” - Benjolan lipoma di dahi Azharina bukan kanser

Azharina hanya dibius separuh dan dalam keadaan sedar sepanjang pembedahan dilakukan.

PENYANYI Azharina Azhar menjelaskan benjolan lipoma di bahagian dahinya yang dibuang menerusi pembedahan pada 27 Ogos lalu tidak merbahaya.

Azharina, 34, berkata, ketumbuhan itu juga sudah disahkan bukan penyakit kanser.

Tambahnya, dia pernah menjalani pembedahan membuang benjolan tersebut ketika berusia 16 tahun namun tumbuh kembali di tempat yang sama selepas 18 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pekerja kena tangkap, Azharina tutup kedai 'sayap' ayam madu

"Alhamdulillah, saya dah melakukan pemeriksaan dengan beberapa doktor dan mereka mengesahkan benjolan lipoma di dahi saya tidak merbahaya dan ia bukan kanser.

"Sebelum ini saya pernah membuat pembedahan membuang benjolan tersebut pada usia 16 tahun tapi baru-baru ini ia tumbuh semula di tempat yang sama.

Azharina berkongsi video ketika dia menjalani pembedahan membuang benjolan lipoma di dahi.

"Insya-Allah selepas ini tidak akan tumbuh lagi sebab sudah membuang akar sekali tapi kita tidak tahu kuasa tuhan," kata Azharina.

Azharina ditemui ketika Mini Showcase Projek Amal #PrayForUtusan #PrayForKosmo di Panggung Asia, Setor Gombak, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Untuk maklumat, lipoma merupakan ketulan atau benjolan yang berbentuk bulat sama ada kecil atau besar tumbuh antara permukaan kulit dan lapisan otot menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa.

Lazimnya, lipoma tumbuh di beberapa bahagian badan seperti tangan, kaki, bahu dan belakang leher, malah ada di dalam organ badan.

Sebelum ini, penyanyi lagu Elegi Sepi ada memuat naik video ketika dia sedang menjalani pembedahan menerusi laman Instagramnya pada 10 September lalu.

Doktor mengesahkan benjolan lipoma di dahi saya tidak merbahaya dan ia bukan kanser.

Azharina

Penyanyi

Dalam pada itu, Azharina memberitahu dia berasa sakit sepanjang tiga jam pembedahan dijalankan kerana berada dalam keadaan sedar.

Kata Azharina, doktor mengambil sedikit lemak di bahagian tepi kedua-dua belah pahanya untuk diletakkan di dahinya.

"Masa pembedahan itu saya memang rasa sakit sebab hanya dibius separuh saja. Jadi, ketika itu saya dalam keadaan sedar dan boleh ketawa serta berborak dengan doktor juga.

"Menerusi pembedahan itu, doktor mengambil sedikit lemak di bahagian tepi kedua peha kaki saya untuk dimasukkan dalam dahi untuk menutupi lekuk supaya benjolan itu tidak lagi tumbuh.

"Sebenarnya saya jalani prosedur paling terbaru di Malaysia," ujarnya.

Azharina turut memberitahu dia mengambil masa seminggu untuk berehat di rumah disebabkan wajahnya menjadi bengkak selepas pembedahan.

Azharina

Artikel Lain