GARA-GARA membuat siaran langsung (IG Live) di Instagram bersama bekas suami, pelakon Bella Astillah dituduh cuba meraih perhatian netizen. Video IG Live itu memperlihatkan Bella sedang menyanyikan lagu Attention sambil diperhatikan Aliff Aziz yang pada masa sama turut memberi komen terhadap nyanyian bekas isterinya. ARTIKEL BERKAITAN: “Walau 10 kali buat hal... terpulang diri sendiri nak maafkan atau tidak” - Aliff 'masuk' IG live Bella Astillah ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah akui bukan mudah nak 'move on', “Ada ketika saya rasa sedih dan down” Rakaman video berdurasi hampir seminit itu dikongsi seorang netizen di Twitter yang pada mulanya berasa sebak melihat aksi bekas pasangan suami isteri itu. Bagaimanapun, rata-rata netizen menganggap Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, sengaja melakukan perkara itu dengan tujuan mahu mencari publisiti murahan dan memintanya untuk berhenti berbuat demikian. Antara komen negatif terhadap Bella. "Bella semakin hari semakin kurang bijak, tapi sebab dia cantik, semua orang asyik cakap bekas suami dia yang tidak baik. Anda sedar Bella apa yang dia sudah buat pada anda? Tapi masih lagi? Ouh tak apa, teruskan la. "Aku dah agak dah. Nama dah sendu. Mereka mula balik (tarik perhatian). Nasib kau la layan mereka berdua ini. "Gila. Seorang gila nak glamor. Seorang gila talak," komen beberapa netizen. Pada 5 Julai lalu, Bella pernah dikecam netizen apabila melayan pertanyaan bekas suaminya itu ketika membuat IG Live. Tindakan Bella membalas beberapa soalan daripada Aliff itu menggambarkan seolah-olah tiada dendam antara mereka. Menerusi laporan mStar pada 7 September lalu, Bella mengakui masih dalam proses untuk melupakan kisah silamnya dengan Aliff dan sudah memaafkan bekas suaminya. Dalam pada itu, ada segelintir netizen mempertahankan Bella dan menganggap tidak salah untuk berkawan dengan bekas suami memandangkan mereka mempunyai anak. "Biarlah dia nak berkawan dengan bekas suami dia. Mereka pun ada anak. Tak kan nak biar anak dia terputus hubungan dengan ayah dia. "Mereka pernah berkahwin dan ada anak lelaki bersama. Bukan mudah walaupun bunyi macam mudah untuk move on. Mereka masih perlu berjumpa sekali sekala sebab Ayden, sudah tentu mereka masih ada perasaan. Apa kata doa yang terbaik untuk mereka. "Walaupun dengan apa yang Aliff sudah buat pada Bella tapi Bella masih baik dengan dia. Kita semua tahu mereka berdua masih saling sayang satu sama lain," tulis netizen. Harap netizen tak berfikiran kolot - Bella Sementara itu, Bella menerusi status terbaharu di Instastory memberitahu semua pihak berhak untuk melakukan apa sahaja dan dia tidak kisah sekiranya netizen beranggapan begitu. Bagi Bella, dia sudah memaafkan bekas suaminya itu dan hubungan mereka masih baik disebabkan anak. "Apa yang saya buat adalah hak saya. Termasuklah Instagram saya. Soal netizen cakap tentang nak glamor atau sebagainya adalah hak masing-masing. Bella membalas mesej netizen yang memintanya untuk berhenti mempamerkan kemesraan bersama bekas suami di laman sosial. "Yang penting saya tahu niat saya. Mungkin menjadi lumrah orang-orang selepas bercerai kalau boleh tak nak bersua muka atau bermusuh. Tapi maaf, tidak bagi saya. "Dan maafkan saya, tiada siapa yang kahwin untuk bercerai. Bercerai itu perit tapi itulah takdir yang harus diterima. Macam kes saya, kami ada anak iaitu Ayden," katanya. Bella turut berharap netizen tidak berfikiran kolot kerana soal jodoh adalah ketentuan Allah dan sebagai manusia perlu memperbaiki diri tanpa mengambil tahu mengenai hal yang tidak memberi manfaat pada diri sendiri. "Dia masih perlukan ayah dia. Harap sangat fikiran jangan terlalu kolot. Kita berhubung baik adalah untuk anak dan siapa tahu kalau memang masih ada jodoh? Hidup, ajal, mati, perpisahan semuanya bukan ditangan kita," ujarnya. Untuk rekod, Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun. Mereka mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei lalu selepas Aliff beberapa kali kantoi curang.