suria

“Saya tak buat pembedahan untuk nampak seiras Iron Man” - Sham Visa digelar Tony Stark Malaya

Sham (kanan) terima pandangan peminat dengan hati terbuka.

MUNCUL dengan imej berkumis serta mengenakan cermin mata bulat menyebabkan peminat menyamakan vokalis kumpulan Visa, Sham dengan watak Tony Stark yang dilakonkan oleh Robert Downey Jr. dalam filem adiwira Iron Man.

Menyedari mengenai hal itu, Sham atau nama sebenar Roshisham Hashim, 43, berkata dia tidak kisah dengan gelaran Tony Stark Malaya yang diberikan peminat dan menganggap ia hanyalah gurauan semata-mata.

"Pada mulanya saya pelik juga kenapa orang samakan saya dengan Tony Stark dan tak pasti macam mana orang ramai boleh kata wajah kami seiras.

ARTIKEL BERKAITAN: Wann Bossanova kembali 'meneran', Ramli MS cabar penyanyi veteran - “Saya tunggu bunyi mahal daripada mereka dalam GV6”

"Saya okay sahaja dan tak ada masalah orang samakan wajah kami sebab ini semua di luar kawalan saya. Bukannya saya buat pembedahan untuk rupa seiras dengan dia.

"Apa-apa pun saya tetap Sham dan tak akan menjadi Tony. Ini adalah diri saya selamanya," katanya kepada mStar.

Sham sertai Gegar Vaganza kerana memenuhi impian peminat.

Dalam pada itu, Sham berkata dia turut teruja apabila diberikan peluang menyertai program nyanyian Gegar Vaganza musim keenam (GV6) yang bakal bermula 13 Oktober ini.

Menurut Sham, dia bersetuju untuk menyertai pertandingan itu kerana memenuhi impian peminat yang ternanti-nantikan kemunculannya dalam industri seni.

Sejujurnya saya seronok apabila dapat berada di pentas ini bersama mereka semua. Insya-Allah kita akan buat yang terbaik!

SHAM VISA

Penyanyi

"Saya bersetuju untuk sertai GV6 kerana nak balas jasa peminat yang suka dengar saya menyanyi, saya nak ingatkan mereka semula mengenai zaman kita dahulu.

"Saya tak melihat pentas GV6 ini sebagai medan pertarungan sebab bagi saya masing-masing ada kelebihan tersendiri dan mereka semuanya hebat-hebat.

"Sejujurnya saya seronok apabila dapat berada di pentas ini bersama mereka semua. Insya-Allah kita akan buat yang terbaik," ujarnya.

13 peserta bersaing bagi merebut gelaran juara GV6.

Selain Sham Visa, penyanyi lain yang menyertai GV6 ialah Naqiu Boboy, Roy, Hady Mirza, Ameer Sofazr dan Jatt Black Dog Bone.

Peserta wanita pula ialah Wann, Noorshila Amin, Feeza, Mazleela dan Nurfatima serta dua berkumpulan iaitu One Nation Emcee dan Kool.

GV6 akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada pukul 9 malam setiap hari Ahad.

GV6 masih mengekalkan Jihan Muse dan Nabil Ahmad sebagai hos manakala pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang menjadi juri tetap.

Sham Visa, Tony Stark, Gegar Vaganza

Artikel Lain