PELAKON dan pelawak Zizan Razak berkongsi detik cemas apabila dia dan beberapa orang awam mengejutkan seorang pemandu kereta yang tertidur di sebuah persimpangan lampu isyarat pada Isnin. Menurut Zizan, pemandu sebuah kereta jenis BMW itu berada dalam keadaan bahaya dan menganggu lalu lintas apabila dilihat tidak sedarkan diri. Menurut Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak, 35, kejadian itu berlaku di Georgetown, Pulau Pinang ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja. ARTIKEL BERKAITAN: “Pelawak hatinya lebih sensitif, mudah bawa watak emosi” - Zizan Razak tidak mahu dikenali sekadar artis komedi Zizan berkongsi video dia dan orang awam membantu kejutkan pemandu yang tertidur dalam kereta. "Tertidur dalam kereta. Ramai yang DM dan tag Zizan bertanya fasal kes semalam. Cerita dia, semalam ketika Zizan dan team Zrff dalam perjalanan ke tempat kerja ada sahabat kita ini mungkin terlalu penat lalu tertidur dalam kereta. "Apa yang best bila berlaku kejadian begini semua bangsa bersatu hulurkan bantuan tak kira Cina, Melayu dan India. Tahniah dan terima kasih buat semua yang berikan kerjasama yang luar biasa. "Kepada sahabat kita, Zizan nasihatkan supaya banyakkan berehat dan jangan kerja lebih masa," katanya. Zizan turut meluahkan rasa gembira apabila semua bangsa bersatu untuk menghulurkan bantuan dan berterima kasih kepada semua orang yang memberikan kerjasama luar biasa itu. Menerusi Instagram Zizan berkongsi video dia bersama beberapa orang awam memecahkan cermin kereta bahagian belakang selama lebih seminit sebelum berjaya menyelamatkan pemandu tersebut. Zizan puji sikap tolong menolong orang awam tidak kira bangsa. Keprihatinan pelakon Polis Evo 2 bersama orang awam cuba mengejutkan pemandu kereta yang berhenti selama hampir 30 minit menerima pujian di media sosial. "Tahniah kepada team Zizan sebab tolong orang itu. Ini baru dinamakan berbilang bangsa tolong menolong amalan mulia. Respect all. "Macam ini kita mahukan tidak kira kaum, agama dan budaya bila susah tolong," komen beberapa orang netizen.