suria

“Tiada satu pun jemputan acara hiburan dan program TV” - Abon kecewa dipinggirkan selepas juarai MLM 2014

Abon dedah dia tidak lagi menerima sebarang jemputan untuk menghadiri acara hiburan atau program TV selepas menjuarai MLM 2014.

PELAKON dan pelawak Abon meluahkan rasa kecewa apabila tidak lagi menerima jemputan untuk menghadiri acara hiburan atau program di televisyen sejak menjuarai Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014.

Menurut Abon atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad, 59, pihak penganjur acara dan program seperti melupakan kewujudannya dalam industri seni sehingga terasa seperti dipinggirkan.

"Saya kecewa dan terpinggir sejak menang MLM 2014, tak ada pun terima jemputan untuk ke acara hiburan atau apa saja program TV. Seolah-olah saya tiada dalam industri dan zaman sudah berakhir.

Abon masih aktif dalam bidang seni.

"Sedangkan saya juga sebahagian daripada itu dan lahir dalam dunia hiburan juga. Saya diketepikan, sama ada disebabkan pihak penganjur terlupa atau memang diri saya sudah dilupakan.

"Mungkin yang menganjurkan program itu adalah generasi muda yang tidak mengikuti perkembangan seni ketika zaman saya dan rakan-rakan saya yang lain," katanya kepada mStar.

Abon ditemui ketika sidang media Havoc Food Festival di Red Box, The Garden Mall, Mid Valley, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Saya diketepikan, sama ada disebabkan pihak penganjur terlupa atau memang diri saya sudah dilupakan.

ABON

Pelakon dan pelawak

Kumpulan Osbon yang dianggotai pelawak senior era 80-an ini dan Allahyarham Mr Os menjuarai program lawak MLM 2014.

Dalam pada itu, Abon memberitahu biarpun empat orang anaknya belajar mengenai asas seni lakonan namun dia tidak mahu mereka mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

Kata Abon, dia bimbang anak-anaknya akan terpengaruh dengan perkara yang negatif selain menyedari bukan mudah untuk memasuki industri seni.

Abon tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

"Semua anak-anak saya memang ada mengikuti kursus asas seni lakonan. Saya sendiri yang galakkan mereka untuk belajar supaya mereka tahu nak beri jawapan mengenai lakonan apabila ada yang bertanya.

"Tapi kalau boleh, saya memang tak nak mereka berkecimpung dalam bidang seni sebab saya tahu, bukan senang nak masuk bidang ini. Selain itu, saya bimbang sekiranya mereka terpengaruh dengan benda yang tak baik," ujarnya.

Abon, MLM 2014

Artikel Lain