suria

“Tak apa mama, papa faham” - Elly Mazlein hubungi bakal suami selepas digelar 'used car'

Elly Mazlein enggan memanjangkan isu 'used car'.

PELAKON Elly Mazlein bersyukur bakal suaminya memahami gurauan berkaitan gelaran 'used car' yang dilabelkan oleh rakan pengacara Datuk AC Mizal ketika mengendalikan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 22 September lalu.

Elly atau lebih mesra dipanggil Kak Lina Pom Pom memandang isu itu dari sudut positif dan tidak mahu acara tersebut gagal disebabkan perkara remeh itu.

ARTIKEL BERKENAAN: AC Mizal gelar Elly Mazlein 'used car', netizen panas hati - “Sampai bila nak tengok gangguan seperti ini?”

"Syukur saya tak ambil hati benda tu, kalau saya bawa perasaan tu seolah-olah saya dah spoil the event. Jadi saya teruskan profesional dan habiskan acara seperti biasa. Walaupun 'used car' tu timbul, kemanisan tu lebih banyak daripada kesedihan.

"Bila selesai saja kerja, saya terus call bakal suami dan menerima maklum balas positif bila dia kata... tak apa mama, papa faham," kata Elly kepada mStar.

Elly tak ambil hati dengan gurauan Datuk AC.

Elly ditemui di majlis sidang media program Mentor Milenia yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada Selasa.

Terdahulu, pengacara Elly diusik oleh Datuk AC dengan gurauan yang mengaitkan isu peribadinya sewaktu program itu disiarkan secara langsung.

Bagaimanapun, Elly bijak mengawal emosi dan masih tersenyum meneruskan acara anugerah popular itu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu berharap kejadian yang berlaku itu akan memberi pengajaran kepada semua pihak.

"Semua dah besar panjang, bila berlaku macam ni mungkin semua orang belajar sesuatu. 

"Bukannya tak boleh bergurau tetapi perlu diingatkan kita hidup bermasyarakat dan tak semua masyarakat memandang isu tersebut sebagai gurauan. 

"Bagi segelintir masyarakat yang berjiwa macam saya mungkin rasa sedih sikit," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Elly akan digandingkan dengan Shuk Sahar dalam program Mentor Millenia yang akan bersiaran di TV3 bermula 6 Oktober.  

Artikel Lain