suria

Noorshila Amin bimbang emosi ganggu GV6, lantik anak jadi ‘admin’ media sosial

Noorshila Amin sudah bersedia dengan sebarang bentuk kecaman daripada netizen.

PESERTA Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Noorshila Amin berkata dia menyerahkan mengendalikan laman sosial kepada anaknya sepanjang menyertai program tersebut.

Meskipun sudah bersedia dengan sebarang bentuk kecaman, dia mengakui bimbang jika komen negatif yang ditinggalkan sedikit sebanyak menggangu emosinya sepanjang program berlangsung.

"Saya sudah bersedia dengan apa jua kata-kata orang di laman sosial, tapi untuk kurangkan impak emosi, lebih baik kita elakkan membaca komen-komen negatif mereka itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wann Bossanova kembali 'meneran', Ramli MS cabar penyanyi veteran - “Saya tunggu bunyi mahal daripada mereka dalam GV6”

"Sebab itulah saya lantik anak saya, Nurul Nadia untuk mengawal dan memantau laman Facebook dan Instagram saya, dia yang akan bagi cadangan sama ada perlu tengok atau tidak.

"Alhamdulillah, buat masa ini semua pengikut saya di laman sosial masih terkawal," katanya kepada mStar.

Noorshila amalkan bersenam dan jaga pemakanan.

Penyanyi lagu Kad Ucapanmu ini merupakan salah seorang daripada 13 penyanyi yang terpilih menyertai musim baharu Gegar Vaganza.

12 peserta lain lagi ialah Wann, Noorshila Amin, Feeza, Mazleela, Nurfatima, Sham Visa, Naqiu Boboy, Roy, Hady Mirza.

Selain itu, Ameer Sofazr, Jatt Black Dog Bone, kumpulan One Nation Emcee dan Kool.

Nasi pun dah tak sentuh hampir sembilan bulan, dulu masa muda dah puas makan, jadi sekarang ini masa untuk kawal pula!

NOORSHILA AMIN

Penyanyi

Memasuki usia 55 tahun, Noorshila berkata dia perlu menjaga stamina tubuh untuk kekal sihat dan bertenaga.

Justeru itu, dia perlu mengamalkan pemakanan sihat dan sentiasa berfikiran positif.

13 penyanyi menyertai GV6.

"Sejak tahun lepas saya mengamalkan bersenam selama 30 minit setiap hari dan tak makan selepas pukul 6.30 petang... nasi pun dah tak sentuh hampir sembilan bulan, dulu masa muda dah puas makan, jadi sekarang ini masa untuk kawal pula.

"Kesan menjaga pemakanan itu membuatkan berat saya turun sebanyak 20 kilogram dan sekarang badan rasa lebih ringan. Selain itu sentiasa berfikiran positif untuk mendapatkan emosi yang lebih baik dan bersemangat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, GV6 akan memulakan saingan pada Ahad dan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor.

Ia turut bersiaran di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad, 9 malam.

GV6 masih mengekalkan Jihan Muse dan Nabil Ahmad sebagai hos manakala juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang.

Untuk rekod, musim pertama Gegar Vaganza dimenangi oleh Ayai (Ilusi), Siti Nordiana pada musim kedua, Azharina (GV3), Aishah (GV4) dan Noryn Aziz (GV5).

Noorshila Amin, Gegar Vaganza, GV6

Artikel Lain