suria

“Jadi lelaki sejati, jalankan tugas sebagai bapa kepada anak yang tak bersalah” - Isteri kedua rayu Amar Asyraf tunai amanah

Vivi tidak berniat untuk mengeruhkan lagi keadaan rumah tangga dia dan Amar yang kini bermasalah.

KEMELUT Rumah tangga pelakon Amar Asyraf dilihat makin berpanjangan apabila isteri keduanya iaitu Vivi Jeffry tampil menuntut suaminya itu agar bertanggungjawab terhadap perkahwinan mereka.

Menurut Vivi, 29, dia berharap supaya Amar mengetepikan masalah yang berlaku demi masa depan anak yang memerlukan perhatiannya sebagai seorang bapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya isteri kedua Amar Asyraf munculkan diri - “Ibu selalu cakap, kita jangan buka aib suami”

ARTIKEL BERKAITAN: “Amar minta izin kahwin lain pada 2017” - Isteri jelaskan perkara sebenar, wanita buat pendedahan ugut bunuh diri tak dapat kahwini Amar

"Untuk suami tersayang, doa saya sentiasa untuk awak. Apa-apa pun, awak tetap bapa kepada anak kita. Saya berharap kalau awak baca ini, ketepikan perkara yang terjadi.

Vivi memaafkan semua pihak yang sengaja atau tidak sengaja menyakitinya.

"Jalankan tanggungjawab anda dengan betul. Jadi lelaki sejati yang menunaikan janji. Saya tiada permintaan tapi jalankan tugas awak sebagai seorang bapa kepada anak awak yang tidak bersalah," tulisnya menerusi Instagram pada Isnin.

Tambah Vivi, dia juga sudah bersedia untuk berhadapan segala kemungkinan membabitkan perkahwinannya dengan Amar.

"Apa saja takdir untuk kita di masa hadapan, saya sudah bersedia. Saya percaya dan yakin semua yang berlaku akan menjadi lebih baik.

"Saya tidak minta untuk diri sendiri tapi demi anak, jadilah lelaki bertanggungjawab. Saya sudah teruskan hidup," kata Vivi lagi.

Sebelum ini, nama Amar Asyraf menjadi bualan hangat apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Ellika Azman mendedahkan aktor itu sudah mempunyai dua orang isteri.

Teka-teka mengenai identiti isteri kedua aktor itu akhirnya terjawab apabila Vivi tampil membuka mulut dan mengakui mereka sudah berkahwin beberapa tahun lalu.

Orang kata diam bermaksud lemah tapi saya tiada kata-kata, hujah atau senjata untuk lawan semula.

VIVI JEFFRY

Isteri kedua pelakon Amar Asyraf

Dia menyimpan rahsia itu demi menjaga nama baik Amar selain sedar dengan statusnya sebagai isteri kedua.

Dalam pada itu, Vivi turut memberitahu dia tidak berniat untuk mengeruhkan lagi keadaan rumah tangga mereka yang kini bermasalah.

Kata Vivi, biarpun kemelut yang berlaku antara mereka bukan atas kehendaknya namun dia percaya Allah mempunyai perancangan yang baik di masa hadapan.

"Saya tiada niat nak jadikan perkara ini lebih teruk. Saya tidak minta semua ini tapi saya percaya Allah ada perancangan yang lebih baik untuk saya.

"Saya tidak perlukan drama, perhatian, terkenal atau pengkritik awam. Apa yang penting untuk saya adalah orang sekeliling yang sentiasa percayakan saya dan anak yang saya sayangi.

Ellika (kanan) nyaris jadi isteri ketiga Amar dan Arna sebagai isteri pertama (kiri) turut dedah perkara sebenar.

"Mereka tahu cerita di pihak saya. Tidak kira baik atau buruk, ia tidak menganggu saya. Saya maafkan semua pihak yang sengaja atau tidak sengaja menyakiti saya.

"Sekarang, saya mahu terus pandang ke hadapan dan tidak mahu mengenang kisah lalu. Orang kata diam bermaksud lemah tapi saya tiada kata-kata, hujah atau senjata untuk lawan semula," ujarnya.

Susulan pendedahan dua wanita yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan Amar, isteri kepada pelakon Tanah Kubur itu iaitu Arna Salleh tampil menjelaskan perkara sebenar.

Menurut Arna, suaminya mempunyai hubungan dengan seorang wanita pada tahun 2015 dan gangguan orang ketiga itu berakhir sehingga Amar meminta kebenaran untuk berkahwin lain pada tahun 2017.

Amar yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka mendirikan rumah tangga dengan Arna pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Taufik serta Ammara Dian.

Artikel Lain