suria

Izara Aishah jadi ‘matchmaker’, Farah Nabilah bakal berkahwin dengan juruterbang 20 Disember depan

TEKA-TEKI mengenai perkahwinan pelakon Farah Nabilah terjawab apabila dia mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang juruterbang Mohammed Amirul Yunus, 28, pada 20 Disember depan.

Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 27, berkata, dia tidak berkongsi mengenai hubungan cinta dengan kekasihnya itu berikutan mahu peminat fokus pada kerjaya seninya.

ARTIKEL BERKAITAN: Khabar angin berkahwin dengan juruterbang Oktober depan, ini jawapan Farah Nabilah!

ARTIKEL BERKAITAN: Farah Nabilah jawab khabar angin sudah bertunang

“InsyaAllah kami akan bernikah pada Disember depan dan semua majlis akan diadakan sekitar Kuala Lumpur. Buat masa sekarang, saya tak boleh kongsi lagi lokasi majlis kami, tapi bila nak dekat nanti baru saya akan beritahu.

“Memang selama ni saya menafikan hubungan kami sebab saya nak peminat fokus pada kerjaya saya sahaja. Di Instagram pun saya tak berkongsi sangat fasal hubungan cinta.

“Tapi untuk sidang media ini saya buat sebab saya rasa dah tiba masanya. Tak nak la nanti orang cakap dulu kata tak ada kekasih, tiba-tiba kahwin,” katanya kepada mStar.


Sama cantik sama pada Farah dan kekasihnya, Amirul.

Farah ditemui ketika sidang media khas pengumuman perkahwinannya di The Orchid Conservatory, Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebelum ini, Farah dikhabarkan bakal mengakhiri zaman bujang dengan kekasihnya pada Oktober depan namun menerusi laporan mStar pada 4 Ogos lalu, dia menafikan perkara itu memandangkan jadualnya pada bulan tersebut padat dengan kerja.

Farah berkata, dia dan pasangannya merancang untuk melangsungkan majlis resepsi pada 28 Disember depan untuk keluarga sebelah lelaki manakala keluarga belah perempuan akan diadakan pasa 5 Januari tahun hadapan.

Perkahwinan pasangan ini akan disiarkan secara langsung menerusi portal program perkahwinan popular TV3 iaitu Mahligai Cinta.

Berkongsi tentang hubungan cinta itu, Farah berkata mereka diperkenalkan oleh rakan baiknya iaitu pelakon Izara Aishah sejak tujuh tahun lalu.

Farah berkata, sikap penyabar dan pandai mengambil hati keluarga membuatkan dia menerima kehadiran lelaki berkenaan sebagai pasangan hidup.

Farah simpan kisah cinta kerana mahu peminat fokus pada kerjaya seni.

“Izara yang kenalkan kami tapi masa itu saya tak nak kenal lagi sebab dalam keadaan kecewa selepas putus cinta dan rupa-rupanya, dia dah lama follow saya di Instagram tapi waktu itu saya tak bersedia lagi.

“Satu hari itu, Izara bawa datang jumpa saya dan kami mula berkenalan tapi saya tetap jual mahal lagi, konon-konon tengah kecewa tak perlukan lelaki lagi.

“Dia tak putus asa sehingga dia berjaya menangi hati saya. Selain itu, dia juga seorang yang penyabar dan pandai ambil hati ibu bapa saya,” ujarnya.

Sementara itu, Farah menjelaskan dia tidak pernah bertunang pada tahun lalu seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya menerima rombongan merisik daripada keluarga lelaki pada awal tahun ini.

Farah Nabilah

Artikel Lain