suria

Kurang muncul di TV bukan bermakna Ayu Damit tiada 'job' - “Jadual saya tak pernah kosong setiap hujung minggu”

Ayu menolak dakwaan popularitinya semakin malap hanya kerana jarang muncul pada program televisyen.

PENYANYI Ayu Damit menolak dakwaan popularitinya semakin malap gara-gara jarang muncul di mana-mana program televisyen mahupun radio.

Menurut Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 30, dia sebaliknya banyak menerima undangan membuat persembahan di majlis-majlis tertutup seperti majlis makan malam korporat dan karnival.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Datuk Seri bagi Ayu Damit 4 hektar tanah... Ini penjelasannya!

ARTIKEL BERKAITAN: Ayu Damit Pernah Hilang Sabar Besarkan Anak

"Kalau ada yang rasa saya ni artis sendu, sejujurnya saya rasa sebaliknya. Saya masih ada dalam industri dan masih relevan cuma orang tak nampak. 

"Tak dinafikan dua tiga tahun ini saya tidak menghasilkan single baharu tetapi undangan untuk membuat persembahan itu masih banyak yang saya terima.

"Memang saya jarang muncul dalam program TV tetapi saya anggap setiap orang tu ada tuah mereka masing-masing... macam saya, jadual mesti pack setiap kali hujung minggu.

Ayu lebih banyak menerima tawaran membuat persembahan untuk majlis tertutup.

"Alhamdulillah... rezeki saya sentiasa ada diundang untuk membuat persembahan di karnival atau majlis makan malam," ujarnya kepada mStar.

Tambah bekas peserta program One In A Million ini lagi, dia berasa selesa dengan rezekinya kini dan tidak mahu mengambil risiko untuk menghasilkan single baharu dalam situasi pasaran yang tidak menentu.

Bagaimanapun, Ayu berkata, dia mengintai peluang untuk bekerjasama dengan komposer terkenal Hael Husaini.

"Ada juga artis yang banyak keluar TV tapi mereka tiada show... bagi saya, saya selesa dengan keadaan begini.

"Saya ada saja intai beberapa komposer seperti Hael Husaini dan cuba nak dapatkan khidmat penulis lirik dari Slen Fadzil dan Iman Imran. Saya berhasrat untuk rakam lagu rancak.

Ada juga artis yang banyak keluar TV tapi mereka tiada show... saya selesa dengan keadaan begini.

AYU DAMIT

Penyanyi

“Tetapi dalam situasi pasaran yang tak menentu ini, saya tidak mahu terlalu mengambil risiko kerana bukan mudah untuk menguruskan kerjaya sendiri. Kalau tidak yakin, lebih baik wang itu saya laburkan dalam bisnes,” katanya.

Ayu Damit sebelum ini mengusahakan perniagaan bersama suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin sejak tahun 2013 dalam sektor pertanian dengan menanam nanas, pokok kelapa dan cili.

Ayu dan suami mengusahakan tanaman cili di Hulu Langat, manakala kelapa dan nanas di Kuala Kangsar, Perak.

Ayu Damit, One In A Million

Artikel Lain