suria

“Tidak keluar pun dari mulut kami menyalahkan Farawahida!” - Kool kesal kenyataan berkaitan rakan duet disalah erti, akur tersingkir GV6

Kool tidak salahkan Farawahida sebagai punca tersingkir dari GV6.

KUMPULAN duo, Kool menjelaskan mereka tidak pernah menyalahkan penyanyi Farawahida sebagai punca kumpulan itu tersingkir pada konsert minggu keempat Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Ahad lalu.

Salah seorang anggotanya, Riot, meluahkan rasa kesal apabila kenyataan mereka berkaitan pemilihan artis untuk persembahan minggu lalu disalah erti segelintir netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: “Banyak perkara saya kurangkan untuk buat mereka menonjol” - Farawahida kecil hati dituduh punca Kool tersingkir dari GV6

ARTIKEL BERKAITAN: “Tidak merdu... harmoni pun bersepah!” - Gandingan Kool dan Farawahida tidak 'mesra' punca tersingkir GV6

“Kool tak pernah salahkan sesiapa pun dan kami akur dengan keputusan juri. Sejujurnya saya sangat hampa dengan kejadian ini. Di Instagram bertalu-talu kami kena kutuk. Tak ada keluar pun dari mulut kami menyalahkan Farawahida jadi punca Kool tersingkir.

“Wartawan tanya jika kami ada wishlist artis dan kami meletakkan tiga nama artis agar produksi boleh pilih dan tak clash dengan peserta lain.

“Sebab itu nama-nama Ziana Zain, Datuk Khadijah dan Farawahida itu ada. Seperti yang kami katakan sebelum ini, Ziana Zain tak dapat bersama kami kerana dia tidak sihat dan Datuk Khadijah pula ada persembahan di Melaka,” ujarnya kepada mStar.


Kool gagal meneruskan perjuangan di pentas GV6

Tambah Riot, Kool juga akur dengan keputusan juri pada malam itu.

Katanya, Farawahida telah memberikan kerjasama yang sangat baik selain turut menyumbangkan pelbagai idea dalam persembahan tersebut.

“Farawahida telah memberikan persembahan terbaik dengan komitmen penuh berserta idea yang pelbagai untuk persembahan kami.

“Kami selalu main badminton bersama dan berbincang mengenai idea untuk persembahan. Jadi, tiada sebab untuk kami salahkan Farawahida malah kehadirannya juga tidak ada memberi kesan dalam penjurian pun.

“Kami sangat menghargai usaha yang dilakukan Farawahida sebagai rakan duet dalam persembahan itu. Tak pernah timbul isu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini,” katanya.

Farawahida telah memberikan persembahan terbaik dengan  komitmen yang penuh berserta idea yang pelbagai untuk  persembahan.

RIOT (KOOL)

Penyanyi

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila kenyataan Kool yang terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat pihak produksi GV6 yang memilih lagu Siapa Dia Sebelum Aku bersama Farawahida disalah anggap oleh netizen.

Segelintir netizen menganggap penyanyi tersebut meletakkan kesalahan kepada Farawahida selaku penyanyi undangan pada malam itu.

Kumpulan Kool gagal mara ke pentas akhir Gegar Vaganza musim keenam (GV6) selepas tersingkir pada minggu keempat Ahad lalu.

Menurut juri tetapnya, Datuk Ramli MS, nada suara yang tidak merdu selain harmoni bersepah membuatkan gandingan Kool dengan Farawahida tidak ‘mesra’ sehingga mereka menerima markah tercorot berbanding sembilan peserta lain.

Kool, Farawahida

Artikel Lain