suria

Peminat tegur wajah Lisdawati seiras Nurul Izzah - “Mulanya tak perasan, bila tengok gambar memang ada iras sikit!”

Lisdawati diberi kepercayaan membawakan watak Nurul Izzah.

BERTUDUNG bawal dengan solekan ringkas membuatkan ramai peminat berpendapat wajah pelakon Lisdawati seiras dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Lisdawati berkata, pada awalnya dia tidak menyedari mengenai perkara itu sehinggalah ada yang menegurnya dengan nama ahli politik tersebut.

"Sejujurnya, saya tak pernah jumpa YB (Nurul Izzah) depan-depan, saya tak terfikir pun wajah kami hampir sama, tapi bila tengok dalam gambar ada iras saya sikit.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita didakwa tipu duit Lisdawati 'serah diri', janji bayar ansuran bermula RM200... “Tapi melalui orang ketiga”

"Sebelum ini, memang sudah ada orang yang panggil saya dengan nama beliau, malah ada juga yang kata muka saya seperti Datuk Seri Wan Azizah jika berlakon sebagai wanita yang berusia," katanya kepada mStar.

Lisdawati ditemui ketika sidang media filem Mahathir, The Journey yang diadakan di Sheraton Hotel, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Barisan pelakon filem Mahathir The Journey.

Menerusi Instagram miliknya, rata-rata peminat meninggalkan komen mengakui wajah pelakon berusia 40 tahun ini saling tak tumpah dengan wajah anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Sementara itu, Lisdawati memberitahu dia menerima tawaran membawakan watak ahli politik berkenaan dalam filem Mahathir: The Journey yang bakal menjalani penggambaran bermula Disember ini.

"Saya dapat tawaran tersebut bulan lalu apabila mereka panggil untuk uji bakat pencarian pelakon dan saya ketawa sebab rasa kelakar, tapi dalam masa sama saya beranikan diri untuk hadir.

"Saya buatlah persediaan, pakai baju dan tudung yang sama sepertinya, semasa ujibakat itu saya baca dialog dan mereka kata okay dah confirm! Sekarang ini saya ada masa kira-kira sebulan untuk kaji watak, tengok caranya bercakap dan sebagainya.

"Sejujurnya memang gemuruh dan takut tapi dalam masa sama gembira. Apa pun saya berterima kasih kepada pihak produksi atas kepercayaan,” ujarnya.

Mahathir, The Journey yang menelan bajet sebanyak RM6 juta turut dibarisi pelakon Azhar Amir yang mendukung watak sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad, Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah) dan Dazrin (Syed Saddiq).

Sementara penyanyi hebat, Ning Baizura pula diberi kepercayaan memainkan watak sebagai Datin Paduka Marina Mahathir, Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Lisdawati, Nurul Izzah

Artikel Lain