suria

Tya Arifin lupa bila kali terakhir berlakon kerana sibuk urus keluarga dan bisnes - “Alhamdulillah... kehidupan saya sudah sempurna”

Tya seronok menguruskan keluarga dan dalam pada masa yang sama sibuk dengan perniagaan produk jamu.

PELAKON Indonesia, Tya Arifin mengakui dia tidak dapat mengingati bila kali terakhir berlakon disebabkan seronok menguruskan hal rumah tangga dan perniagaan.

Bagaimanapun menurut Tya, 25, dia tidak pernah menutup 'periuk nasinya' dalam bidang lakonan dan sentiasa terbuka kepada tawaran yang bersesuaian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Suami tak halang cuma tawaran kurang sesuai dengan masa” - Tya Arifin rindu bidang lakonan

"Sebenarnya saya sendiri dah lupa bila kali terakhir saya berlakon sebab agak lama juga sejak sebelum lahirkan anak kedua lagi.

Tya sentiasa terbuka menerima tawaran yang bersesuaian dengan waktunya.

"Jadi, hampir dua tahun saya tidak berlakon. Saya jadi lupa mengenai lakonan sebab terlalu asyik (seronok) dengan bisnes serta uruskan keluarga.

"Tapi saya sentiasa terbuka terima tawaran, asalkan bersesuaian dengan waktu bersama keluarga," kata Tya kepada mStar.

Tya ditemui ketika malam gala filem Misi Operasi X (M.O.X) di mmCineplexes @E-Curve, The Curve, Petaling Jaya baru-baru ini.

Isteri kepada ahli perniagaan, Asyraf Khalid ini melahirkan anak keduanya yang diberi nama Azzahra Jiwa Asyraf pada 9 Mei lalu.

Kehidupan Tya sempurna dengan kehadiran dua cahaya matanya.

Pemilik nama Nurtria Wulandari Arifin dan Asyraf berkahwin pada 1 November 2015 dan mempunyai seorang lagi anak, Arif Jiwa Asyraf yang kini berusia dua tahun.

Dalam pada itu, Tya meluahkan rasa syukur kehidupan dia kini sudah boleh dianggap sempurna dengan kehadiran dua cahaya mata.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dapat anak-anak yang sihat dan sepasang (lelaki dan perempuan) pula. Allah sangat baik dengan saya.

"Rasa kehidupan saya sudah sempurna, tak tahu nak minta pertolongan apa lagi daripada Allah sebab semuanya sudah diberikan," ujarnya.

Tya Arifin, Asyraf Khalid

Artikel Lain