suria

Apa nasib Sham Visa dalam GV6? Peti suara alami kecederaan teruk - “Mungkin ambil masa lama untuk sembuh”

Sham Visa berkongsi perkembangan terkini mengenai kesihatannya.

PESERTA Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Sham Visa memberitahu keadaan kesihatan tekaknya masih belum pulih dan berada dalam keadaan kronik sehingga perlu dirujuk ke hospital.

Menurut Sham, 47, doktor mengesahkan dia mengalami Chronic Laryngitis atau kecederaan teruk pada peti suara dan memerlukan masa yang lama untuk pulih seperti sedia kala.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramli MS kata Sham Visa tak cukup ‘jantan’ - “Mungkin tenaga dah tak macam orang muda lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: “Ego pernah membunuh saya... itu bukan perkara yang baik” - Sham Visa tak pernah terfikir kembali ke dunia glamor

"Ia berlaku sejak Jumaat lepas, keadaan masih tidak baik dan selepas mendapatkan rawatan, doktor memberitahu kecederaan itu biasa berlaku kepada penyanyi.

"Saya baru lepas buat pemeriksaan kesihatan... doktor ambil satu alat mempunyai wayar panjang, ada kamera dimasukkan ke dalam rongga hidung dan terus masuk ke kawasan vocal cord.

Sham memaklumkan mengenai tahap kesihatannya di laman Instagram.

"Melalui kamera itu doktor boleh tengok apa yang berlaku dan doktor nampak kecederaan itu yang mungkin mengambil masa lama untuk sembuh," katanya.

Sham berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya itu menerusi Instagram pada Sabtu.

Meskipun kecederaan itu memerlukan masa untuk sembuh, Sham tetap bersyukur kerana keadaan peti suaranya tidak mengalami kecederaan parah.

Sham akan tetap meneruskan persembahan GV, Ahad ini.

"Alhamdulillah keadaan peti suara masih tak terlalu serius... tak ada terkoyak atau bengkak, cuma buat masa sekarang saya tak boleh keluarkan ton suara yang betul," ujarnya.

Sementara itu, pihak pengurusan Sham iaitu Mindorder memaklumkan Sham akan tetap meneruskan saingan pada konsert GV minggu keenam pada Ahad ini.

"Sham tidak patah semangat dan tetap berusaha untuk menyampaikan lagu Suratan Takdir sebaik mungkin demi profesionalisme dan sokongan semua terhadapnya.

"Kami berharap Sham terus kuat dan tabah menghadapi kesulitan ini serta sembuh semula secepat mungkin dengan izin Allah," tulis pihak pengurusan menerusi satu muat naik di Instagram.

sham Visa, Gegar Vaganza 6

Artikel Lain