suria

“Tak berani nak tutup pintu hati, buatnya ada yang datang nanti” - Fauziah Latiff enggan mengharap cinta baharu

Fauziah Latiff tidak menutup pintu hatinya untuk kembali bergelar isteri.

PENYANYI Fauziah Latiff berkata dia enggan terlalu memikirkan mengenai soal jodoh dan tidak meletakkan harapan tinggi untuk kembali bergelar isteri.

Mengakui masih belum menemui pengganti, Fauziah, 48, berkata dia menyerahkan soal ketentuan jodoh itu kepada Allah SWT.

"Alhamdulillah, kehidupan saya hari ini bahagia dengan keluarga... cerita nak kahwin tu dah lama berlalu, dah lepas! Sekarang ni tak ada sesiapa di hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Fauziah Latiff hanya dimaklumkan kejadian aneh selepas penggambaran

"Saya pun tak berani nak kata dah tutup pintu hati, buatnya ada yang datang nanti. Soal jodoh ini urusan Tuhan, kalau ada adalah, kalau tak ada pun tidak mengapa," katanya kepada mStar.

Terdahulu, penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini berkahwin dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992 dan bercerai selepas tiga tahun berkahwin.

Fauziah Latiff membawakan watak Tun Dr Siti Hasmah dalam filem Mahathir The Journey.

Selepas lima tahun berstatus solo, Fauziah berkahwin buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Johan Indot di London tetapi bercerai pada 2007.

Hasil perkahwinan kedua itu, Fauziah dikurniakan dua cahaya mata lelaki Jeffri Joaquim, 20, dan Jeremy Jay, 18.

Sementara itu, Fauziah memberitahu aktiviti hariannya padat dengan pelbagai program termasuklah aktif menguruskan studio miliknya diberi nama Port Seni yang terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

"Sekarang ni saya sibuk dengan aktiviti kecergasan dan seni di studio kecil saya, kita ada buat pelbagai aktiviti seperti tarian dan zumba.

Fauziah penuhi aktiviti kecergasan bagi mengekalkan stamina tubuh.

"Selain itu kita juga ada buat latihan vokal, belajar main piano dan gitar, akan datang ada lagi beberapa latihan tarian diperkenalkan.

"Pada usia sekarang, kadar metabolisme semakin kurang, jadi saya perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik dan apabila ada kawan-kawan datang buatkan saya lebih bersemangat!,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fauziah bakal menjalani penggambaran filem Mahathir, The Journey yang akan bermula pada 15 Disember ini.

Dia membawakan watak isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Fauziah Latiff

Artikel Lain