suria

“Selama enam minggu saya hanya di kedudukan bawah” - Usaha Noorshila Amin bawa lagu 'Vroom Vroom' berbaloi

Noorshila antara peserta yang akan mara ke minggu kelapan konsert GV6.

PENYANYI Noorshila Amin berasa sebak apabila segala usahanya untuk mempersembahankan lagu Vroom Vroom nyanyian asal Nabila Razali pada minggu ketujuh Gegar Vaganza musim keenam (GV6) berbaloi.

Menurut Noorshila, 55, dia terkejut apabila berjaya meletakkan diri di tangga keempat pada minggu tersebut memandangkan sejak awal konsert kerap berada dalam kedudukan paling bawah.

"Memang saya rasa sebak sebab selama enam minggu, saya selalu berada dalam kedudukan tiga ke bawah. Tapi minggu ini sangat terkejut apabila dapat di tangga keempat.

"Saya rasa berbaloi sangat segala usaha saya minggu ketujuh ini diterima. Walaupun sebelum ini selalu di bawah tapi saya sentiasa akan lakukan tugasan sebaik yang mungkin.

Noorshila menyanyikan lagu Vroom Vroom pada minggu ketujuh konsert GV6.

"Mungkin kali ini, persembahan saya menari bersama penari membantu untuk mendapatkan markah lebih selain lagu itu juga turut membantu," katanya kepada mStar.

Noorshila ditemui ketika sidang media konsert Gegar Vaganza musim keenam (GV6) minggu ketujuh di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada baru-baru ini.

Minggu ketujuh GV6 menyaksikan penyanyi lagu Kad Ucapanmu itu memenangi Anugerah Bintang Cili Padi.

Selain Noorshila, kesemua peserta iaitu Hady Mirza, Naqiu, One Nation Emcess, Noorshila Amin, Sham Visa, Jatt, Roy, Nurfatima dan Wann mara ke minggu kelapan.

Noorshila memenangi Anugerah Bintang Cili Padi.

Dalam pada itu, Noorshila mengucapkan terima kasih kepada suami dan anak-anak yang banyak membantu untuk dia menjayakan persembahan pada minggu tersebut.

"Lagu itu baru dan kalau boleh memang saya tak nak ikut style Nabila menyanyi. Saya memiliki suara yang besar, jadi memang ia satu cabaran untuk saya.

"Beratus kali juga saya dengar lagu itu. Alhamdulillah, saya ada suami dan anak-anak yang banyak membantu untuk bawa lagu BBNU (budak-budak baru nak up).

"Walaupun jadi macam mak-mak nak up, saya cuba juga yang terbaik. Pembukaan persembahan itu pun idea daripada suami dan anak-anak," ujarnya. 

Artikel Lain