suria

“Saya tak nak fikir rasa sedih, dah sedia jika tersingkir” - Wann

Wann enggan meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan.

PENYANYI Wann memberitahu dia enggan meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan namun hanya ingin menikmati saat-saat berada dalam Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Menurut Wann atau nam sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, 49, fokus utamanya menyertai GV6 hanya untuk melakukan persembahan di atas pentas.

"Apabila diumumkan diri berada di kedudukan paling bawah, saya tak berasa sedih pun malah tunggu nak pulang sahaja.

"Sebab sebenarnya saya tak kisah sangat tersingkir sebab memang bukan nak bertanding tapi saya lebih kepada mahu membuat persembahan di pentas saja.

Wann tidak mahu rasa sedih jika tersingkir.

"Saya tak nak fikir rasa sedih jika tersingkir sebab ini adalah pertandingan dan setiap tugasan yang diberikan, saya cuba buat yang terbaik," katanya kepada mStar.

Wann antara sembilan peserta yang masih berada dalam GV6 dan meneruskan perjuangan untuk minggu kelapan pada Ahad.

GV6 membuat kejutan apabila melanjutkan dari hanya lapan minggu ke 11 minggu dan biarpun Wann berada di kedudukan paling bawah namun terselamat daripada tersingkir pada minggu ketujuh.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Bassanova ini mengakui dirinya sentiasa 'over' dalam setiap persembahan yang dilakukan.

Wann sentiasa akan cuba lakukan persembahan yang terbaik.

"Saya dah menyanyi berzaman pun dan kalau saya masih baru dalam bidang ini, mungkin saya boleh ubah cara nyanyian saya.

"Sejujurnya, saya memang selalu 'over' dalam setiap persembahan. Saya tak nak kurangkan sebab saya memang akan menyanyi ikut cara saya sendiri.

"Saya buat apa yang saya rasa dan saya tak tahu apa yang dimaksudkan terlebih over. Apa saja tugasan yang diberikan, saya tetap akan cuba buat yang terbaik," ujarnya. 

Wann, GV6

Artikel Lain