suria

“Nampak pelik dan banyak yang sumbang” - Wann terselamat buat kali kedua, netizen mula muak dengan 'game' GV6

Wann mara ke minggu separuh akhir GV6.

PENYANYI Wann sekali lagi terselamat daripada tersingkir di pentas Gegar Vaganza musim keenam (GV6) pada konsert minggu kesembilan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada Ahad.

Bagaimanapun, juri tetap Datuk Ramli MS berkata, penyampaian Wann terhadap lagu tersebut kurang baik biarpun jiwa dan perubahan dari segi susunan lagu bagus.

ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan tiada kelainan punca Roy tersingkir GV6 - “Minggu ke minggu dia di situ sahaja”

“Nampak pelik dan banyak yang off (sumbang). Jiwa ada tapi tak ada tenaga. Tukar susunan lagu itu dah bagus cuma penyampaian itu yang kurang,” katanya.

Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, 49, mendapat markah tercorot pada minggu ke sembilan GV6.

Namun, penyanyi itu bernasib baik buat kali kedua apabila pihak GV6 mengumumkan tiada sebarang penyingkiran dilakukan malam berkenaan.

Semua peserta yang bertanding di minggu kesembilan layak ke separuh akhir GV6.

Manakala Hetty Koes Endang selaku juri tetap juga memberitahu Wann sepatutnya menyampaikan lagu Hitam Putih Kehidupan nyanyian Datuk Sheila Majid dengan lebih santai.

“Ada lagu kita harus bawa dengan berat dan ada juga yang perlu relax. Lagu ini tak perlu dibawa dengan terlalu berat. Tetapi saya melihat Wann bawa berat terutama bahagian tarik.

“Sepatutnya Wann kena lebih enjoy dan bawa dengan ringan saja. Fokus Wann hilang dan banyak flat,” ujarnya.

Semua peserta mara ke minggu separuh akhir iaitu Wann, Noorshila Amin, Nurfatima, Sham Visa, Naqiu Boboy, Hady Mirza, Jatt Black Dog Bone dan kumpulan One Nation Emcees.

Kesemua peserta diadili oleh dua juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang, manakala pelakon Datuk Rosyam Nor serta komposer Manan Ngah tampil sebagai juri jemputan.

GV6 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Komen netizen di laman sosial Twitter.

Sementara itu, rata-rata netizen mula mempersoalkan keputusan GV6 terus mengekalkan dua peserta sensasi Wann dan Sham Visa biarpun menunjukkan prestasi buruk.

Netizen meluahkan rasa kurang senang di laman sosial Twitter dan berpendapat ia hanya strategi pihak Astro bagi meraih rating dan trending di media sosial.

“Setiap kali Wann dan Sham markah terendah mesti tiada penyingkiran. Astro memang nak simpan Wann ke ni?

“Inilah apa yang Astro nak! Sosial media jadi gila bila Wann terus selamat daripada tersingkir. Saya fikir Astro patut minta maaf kepada semua peserta yang bertanding secara adil. Kamu fikir semua usaha mereka hanya bahan gurauan? ” ujar netizen.

Bintang Cuckoo Paling Gempak minggu ini menjadi milik Sham Visa manakala Anugerah Bintang Cili Padi pula dimenangi oleh kumpulan One Nation Emcees.

GV6 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Juara Gegar Vaganza musim keenam bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Artikel Lain