suria

“Niat sertai program ini nak cari peminat muda” - Jatt Black Dog Bone terima 16,000 pengikut sejak sertai GV6

Jatt bersyukur mendapat sambutan yang baik daripada peminat generasi muda.

PESERTA Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Jatt Black Dog Bone memberitahu pengikut Instagram meningkat hampir 15,000 selepas sembilan minggu bertanding di program realiti itu.

Jatt, 63, bersyukur kerana salah satu tujuan menyertai program itu adalah untuk menarik lebih ramai peminat baharu terutama generasi muda.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nampak pelik dan banyak yang sumbang” - Wann terselamat buat kali kedua, netizen mula muak dengan 'game' GV6

"Alhamdulillah, sejak sertai GV6 ini pengikut saya di IG pun bertambah daripada 4000 kini sudah ada lebih 20,000 pengikut.

"Sememangnya niat saya masuk program ini pun sebab nak cari peluang serta nak tarik peminat-peminat baru terutamanya anak-anak muda.

Jatt serta GV6 kerana mahu mencari peminat baru.

"Sekarang ini, mereka sudah mula kenal saya. Malah, ada seorang peminat berusia lima tahun yang melukis 'love uncle Jatt'.

"Saya bersyukur, maknanya generasi baru sekarang ini boleh terima saya walaupun usia sudah mencecah 63 tahun," kata Jatt kepada mStar.

Pemilik nama Tahir Ali ini ditemui selepas selesai konsert GV6 minggu kesembilan yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, pada Ahad lalu.

Selain Jatt, lapan peserta GV6 iaitu Naqiu Boboy, Hady Mirza, One Nation Emcees, Wann, Nurfatima, Sham Visa dan Noorshila Amin bakal mara ke minggu separuh akhir GV6 pada Ahad depan.

Jatt amalkan makanan yang sihat sejak beberapa tahun untuk kekal cergas.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Gadis Ayu ini berkongsi tips menjaga kesihatan dan kekal cergas yang diamalkan sejak beberapa tahun lalu.

"Kalau masa muda saya selalu joging tapi bila dah berusia 63 tahun ini, saya hanya lakukan slow walk sahaja bila ada masa terluang.

"Selain itu, saya dan isteri memang jaga pemakanan dan kami sudah amalkan makan makanan sihat sejak beberapa tahun. Untuk sarapan, saya hanya makan buah nenas atau telur rebus.

"Tengahari dan petang atau malam pula makan salad. Alhamdulillah, sehingga kini saya tak ada alami penyakit yang serius," ujarnya.

Jatt Black Dog Bone, GV6

Artikel Lain