DALAM keterujaan membawa ibu dan keluarga menunaikan umrah pada Isnin, penyanyi Wany Hasrita meluahkan rasa bimbang namun berharap perjalanan mereka akan dipermudahkan. Menurut Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 28, kerisauan itu timbul disebabkan dia yang bertanggungjawab menguruskan segala persiapan mereka ke Tanah Suci Makkah. ARTIKEL BERKAITAN: Wany Hasrita dapat panggilan haji, sedih tak dapat bawa ibu "Memang saya sangat teruja nak bawa ibu tunai umrah bersama-sama. Sebab sejak dulu lagi saya rancang nak bawa ibu tapi tahun ini baharu ada kesempatan. Impian Wany nak bawa ibu tunai umrah tercapai. "Selain ibu, ada beberapa ahli keluarga lain termasuklah datuk dan nenek saya akan turut serta. Walaupun saya rasa teruja tapi dalam pada masa yang sama ada rasa risau. "Bukan nak doa perkara yang tidak baik berlaku tapi bimbang kalau ada apa-apa masalah memandangkan saya bertanggungjawab yang menguruskan segalanya," katanya kepada mStar. Wany ditemui ketika majlis sambutan ulang tahun kelahiran penyampai radio Suria FM iaitu DJ Lin di Restauran Nelayan Steamboat, Ampang, pada Sabtu. InsyaAllah pada April nanti saya akan ke sempadan Syria-Turki untuk melaksanakan program Syria Care bersama Khai Bahar. WANY HASRITA PENYANYI Selain Wany sekeluarga, penyanyi Amira Othman serta keluarganya juga pergi mengerjakan umrah pada hari yang sama selama 10 hari bermula Isnin. Menerusi laporan mStar pada 7 Ogos tahun lalu, Wany pernah meluahkan rasa kecewa apabila hasrat untuk membawa ibunya, Norita Jaafar menunaikan ibadah haji pada musim itu tidak kesampaian. Sementara itu dalam perkembangan lain, Wany memberitahu dia akan menyertai misi kemanusiaan ke sempadan Syria-Turki bersama penyanyi Khai Bahar buat kali pertama pada April depan. Penyanyi Menahan Rindu ini mengakui dia ada sedikit berasa takut tetapi ibunya sentiasa memberi sokongan dan kata semangat untuknya. Wany pertama kali akan sertai misi kemanusiaan ke sempadan Syria, Turki bersama Khai Bahar. "InsyaAllah pada April nanti saya akan ke sempadan Syria-Turki untuk melaksanakan program Syria Care bersama Khai Bahar. "Ini merupakan kali pertama saya akan sertai misi kemanusiaan. "Perasaan takut tu ada dan walaupun saya tak pernah luahkan pada ibu tapi dia tahu. Ibu ada cakap saya pergi pun bukan untuk seronok. "Dan kalau ada sesuatu yang tidak diingini berlaku di sana, itulah yang terbaik dan takdir saya," ujarnya.