suria

Yatt Hamzah ikut sunnah namakan anak selepas 7 hari lahir - “Saya pilih bersempena nama isteri Nabi Adam dan Nabi Yusuf”

Yatt namakan anak sempena nama isteri Nabi Adam dan Nabi Yusuf.

GENAP seminggu melahirkan cahaya mata keempat, pelakon Yatt Hamzah akhirnya berkongsi nama anaknya itu menerusi laman Instagram pada Rabu.

Yatt berkata, dia dan suami bersepakat menamakan puteri mereka, Suci Hawa Zulaikha bersempena dengan nama isteri Nabi Adam dan Nabi Yusof.

"Sempena mengambil keberkatan sunnah menamakan anak pada hari ketujuh, bonda (panggilan diri Yatt) dengan rendah hati berkongsi nama puteri keempat yang hari ini telah genap lapan hari usianya iaitu Suci Hawa Zulaikha Mohammad Zulfadhli.

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu sebelum raya, Yatt Hamzah disahkan hamil anak keempat

ARTIKEL BERKAITAN: Yatt Hamzah resah tak dapat hubungi suami - “Tolong doakan suami saya...”

"Nama yang baik bersempena dengan nama 'ibu' kita semua iaitu Hawa isteri Nabi Adam, juga nama wanita yang dikatakan isteri Nabi Yusuf iaitu Zulaikha. Suci pula membawa maksud kudus, bersih, harum dan baik juga bersamaan dengan nama awal ketiga-tiga kakaknya.

"Mudah-mudahan akhlak dan keperibadian anak bonda ini secantik dan seindah namanya. Semoga maksud nama yang baik itu menjadi doa buatnya seumur hidup. Mujahidah solehah insyaAllah," kata Yatt.

Yatt Hamzah umum nama anak di Instagram.

Pada 30 Disember lalu, Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 39, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.30 kilogram di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Yatt memaklumkan anak keempatnya itu lahir lewat 13 hari daripada tarikh jangkaan.

"Sepatutnya lahir pada 18 Disember tetapi selepas 13 hari menunggu, saya selamat melahirkannya secara normal, Alhamdulillah.

"Saya berterima kasih kepada suami kerana sanggup menangguhkan misi bantuan ke Syria demi menanti kelahiran bayi kami," katanya.

Pelakon drama Jejak ini mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Zulfadhli yang juga seorang juruvideo pada Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Suci Humaira Iqlima, 3, serta Suci Hayfaa Medina, setahun.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Abdul Mutalib Shukor, Yatt dikurniakan seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika, 9.

Yatt Hamzah

Artikel Lain