suria

“Kami tak selesa jadikan isu viral dan sindiran sebagai jenaka” - Bocey rela lawak tak menjadi

Kumpulan Bocey tidak selesa menggunakan orang ketiga sebagai bahan jenaka dalam melawak.

KUMPULAN lawak Bocey menjelaskan mereka tidak memilih untuk menggunakan sesuatu isu yang sedang viral apatah lagi menyentuh orang ketiga sebagai bahan jenaka dalam persembahan lawak mereka.

Menurut salah seorang daripada ahlinya iaitu Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, lawak sebegitu dianggap mudah untuk mendapat gelak ketawa namun mampu memberi kesan negatif terhadap seseorang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ni ke orang tua mulut celupar tu?” - Netizen puji Abam Bocey cari sampai dapat individu pertikai DNA anak

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 2 kali jadi juara, Bocey ada sebab sertai MLM 2018

"Lawak sebegitu mungkin ada tapi kami lebihkan kepada kiasan saja. Untuk kami gunakan satu-satu isu itu secara terus ataupun menjadi kandungan utama dalam jenaka, itu bukan Bocey.

Kumpulan Bocey mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega 2019.

"Dari dulu kami melawak, kami sendiri rasa tak selesa untuk jadikan satu-satu isu viral itu sebagai bahan jenaka dan saya tak rasa ia perlu untuk dimainkan.

"Perkara sebegitu memang mudah untuk memberikan satu gelak tawa tapi ia akan memberi kesan negatif terhadap orang lain. Kalau budak-budak lihat, apa yang mereka akan fikirkan?" ujarnya kepada mStar.

Bercerita lanjut, Bocey yang turut dianggotai oleh pelawak dan penyanyi Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 34, berkata, jenaka yang dicipta berdasar isu semasa bersifat tidak kekal dan tidak sesuai dipertontonkan kepada kanak-kanak.

Kata Achey, mereka lebih memilih lawak yang dicipta berdasarkan idea daripada tiga ahli kumpulannya agar ia lebih relevan buat penonton.

Sejujurnya kami memang tak berminat untuk bermain apa-apa isu yang melibatkan pihak ketiga.

ACHEY

PELAWAK

"Lawak sebegitu orang akan cepat melupakan. Mereka akan tanya apa yang lawaknya kumpulan ini dulu? Jadi kami fikir lebih baik kami gunakan pendekatan yang umum, dan cuba cipta sendiri lawak itu agar tiga atau empat tahun sekalipun orang akan ingat dan gelak dengan lawak kami.

"Lagipun kami memang nak peminat kami itu dari kalangan budak-budak kecil. Kami lebih memilih untuk bermain secara clean agar ia sesuai untuk semua golongan.

"Sejujurnya kami memang tak berminat untuk bermain apa-apa isu yang melibatkan pihak ketiga. Biarlah lawak itu daripada kami bertiga sahaja. Kami tak gemar untuk main sindir-sindir semua tu. Biarlah tak kelakar asalkan jangan ke arah itu. Ia pendirian kami," katanya.

Selain Abam dan Achey, kumpulan ini turut dianggotai seorang lagi ahli iaitu Fad atau nama sebenarnya Fadzlie Mohd Nizam, 30.

Dalam pada itu, Bocey mendapat tempat ketiga program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019) yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam pada Jumaat lalu.

Ia sekaligus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 berserta trofi.

Abam, Bocey

Artikel Lain