suria

“Saya berdoa dipermudahkan proses hamil kali kedua” - Scha Alyahya selamat jalani pembedahan buang ketumbuhan

Scha bersyukur selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim.

PELAKON Scha Alyahya meluahkan rasa syukur selepas selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim (endometiosis) di pusat perubatan, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Scha, 37,  dia menyedari masalah yang dialaminya selepas mengalami sakit pinggang dan sakit perut melampau ketika datang bulan pada Disember tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak jadi artis... mental kena kuat” - Scha Alyahya komen selebriti 'kaki drama', luah perasaan di laman sosial

"Ketika membuat pemeriksaan pada Disember lalu, saya dimaklumkan terdapat ketumbuhan baru dan disarankan untuk menjalani pembedahan.

Scha pernah menjalani pembedahan yang sama pada 2013.

"Akibat ketumbuhan itu tanda-tanda lama berulang seperti sakit pinggang dan sakit perut yang melampau ketika datang bulan.

"Perkara ini tidak mengejutkan kerana difahamkan ia memang boleh berlaku lagi pada individu yang pernah mengalaminya. Antara punca adalah faktor pemakanan," katanya.

Pemilik nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini pernah menjalani pembedahan yang sama pada 2013 sebelum hamil anak sulung, Lara Alana.

Dalam pada itu, isteri kepada pengacara Awal Ashaari ini memberitahu dia kini sedang berusaha untuk hamil kali kedua.

Scha berharap dikurniakan cahaya mata kedua.

"Meskipun ada penghidap sama boleh hamil, namun dalam kes saya ini antara punca saya susah nak hamil lagi.

"Jadi, saya berdoa selepas ini dipermudahkan proses untuk hamil kali kedua. Meskipun ada rawatan alternatif lain untuk hamil, tapi sekurang-sekurangnya saya kena buang ketumbuhan ini dulu," ujarnya.

Pelakon drama popular Ti Amo, Sweetheart 100 Hari! ini mendirikan rumah tangga dengan Awal pada 2012 dan dikurniakan cahaya mata, Lara Alana yang kini berusia enam tahun.

Artikel Lain