BUKAN mudah untuk seseorang pelakon menjiwai sesuatu watak dalam lakonan lebih-lebih lagi bagi memastikan ianya mampu menyentuh hati penonton. Namun pujian harus diberikan kepada penyanyi Sissy Imann apabila berjaya menjiwai watak seorang pesakit kanser menerusi telefilem Lagu Untuk Suri yang ditayangkan di TV3 pada Sabtu lalu. Menerusi ruang media sosial, rata-rata netizen kagum dengan kemampuan Sissy, 25, menggalas tugas berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN : Keterlaluan! Sissy Imann berang individu tinggalkan komen hina ibunya - “Saya tak maafkan sampai masuk ke liang lahad” ARTIKEL BERKAITAN: Kawan perempuan penuh drama, Sissy Imann mahu 'bridesmaid' lelaki "Terima kasih bawa watak mewakili kami yang berjuang melawan kanser dan terpaksa tinggalkan orang tersayang. "Situasi Suri hampir sama... jalan cerita yang sama. Terpaksa tinggalkan orang yang saya janji nak sehidup semati tanpa sebab. "Orang sekeliling dia cakap saya kejam dan pentingkan diri, tapi tak mengapa kerana ia hak individu untuk menilai. Asalkan saya tahu ini semua untuk kebaikan dia di kemudian hari," demikian tulis seorang individu dikenali sebagai @amran_tugiman di Instagram. Luahan seorang individu mengenai penderitaan yang terpaksa ditanggung di Instagram Sissy. Luahan lelaki yang mengakui menghidap kanser hati tahap tiga itu dikongsikan Sissy di Instastory. Menurut Sissy dia sendiri tidak menyangka lakonannya berjaya meninggalkan kesan kepada penonton termasuk mereka yang menderita penyakit kanser. "Betul-betul tak sangka lakonan saya dapat pujian daripada penonton kerana saya bukannya seorang pelakon. "Dalam masa sama pun saya tak pernah fikir respons orang. Apa yang saya fikir ialah untuk bawa watak Suri dalam telefilem tersebut dengan baik. "Saya juga terharu apabila penonton menghargai dan memberikan komen positif mengenai lakonan saya," katanya ketika dihubungi mStar. Antara babak di laman telefilem Lagu Untuk Suri. Ditanya bagaimana dia mampu melaksanakan tugasnya dengan baik, Sissy bersyukur kerana banyak dibantu pengarah Isqandar Jebat. "Selain daripada itu saya juga ada membuat kajian sendiri untuk menjadi seorang pesakit kanser. Saya juga bertanya kawan yang menghidap kanser bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas," katanya. Telefilem Lagu Untuk Suri mengisahkan konflik cinta tiga segi antara dua beradik iaitu Suri dan Sara dengan seorang penyanyi yang sedang meningkat naik iaitu Johan Abhar. Selain Sissy, telefilem itu turut dibintangi Naim Daniel, Sissy Iman, Sweet Qismina, Jesse Lim, Aida Aris, Aman Graseka dan Iskandar Norzaman.