suria

Wanita mengamuk tarik kereta, Harith Iskandar komen isu masalah mental - “Dia sedang melalui kesukaran dalam hidup”

Harith Iskander luah pendapatnya tentang video seorang wanita yang tular di media sosial.

VIDEO tular berkaitan seorang wanita yang mengamuk ketika kereta miliknya ditarik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapat perhatian ramai.

Wanita itu bertindak agresif terhadap penjawat awam dan meludah orang awam yang cuba untuk menenangkannya selain bertindak membaling kon.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita mengamuk kereta ditarik, ludah pegawai dan baling kon didakwa depresi - “Anak sulung baru meninggal, suami kahwin lain”

Video yang tersebar di laman Twitter itu turut mendapat perhatian pelawak Harith Iskander yang memuat naik semula di laman Instagramnya pada Jumaat.

Harith beri pendapatnya di media sosial pada Jumaat.

Bagaimanapun, Harith berkata wanita itu berkemungkinan mempunyai masalah yang besar dalam kehidupannya.

"Apa juga yang dilalui oleh wanita ini dalam hidupnya ia mungkin sesuatu yang sukar untuknya. Reaksi seperti ini tidak sihat dan saya percaya ia disebabkan kekecewaan, marah, kesakitan yang dilalui dalam hidupnya.

"Saya harap dia ditemukan dengan ketenangan. Kesihatan mental adalah isu yang boleh menjejaskan sesiapa sahaja yang mengira umur," ujarnya.

Pendapat Harith menerima sokongan pengikut laman sosialnya yang menyifatkan tindakan wanita itu dalam keadaan yang tidak waras.

Video berkenaan mendapat perhatian netizen dengan jumlah tontonan sebanyak 83,000.

Dalam pada itu, ada netizen mendakwa wanita tersebut sememangnya berhadapan dengan depresi gara-gara mempunyai masalah peribadi.

"Cikgu ni depresi... anak sulung dia baru meninggal dunia. Suami dia kahwin lain dan bawa anak dia seorang lagi," tulis seorang netizen.

Harith Iskander

Artikel Lain