suria

Tiga tahun ramalan tepat, kali ini Neelofa jangka Sumpah (Naim Daniel) menang AJL34

Tiga tahun berturut-turut ramalan Neelofa mengenai AJL tepat.

DEBARAN malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-34 yang berlangsung pada malam, Ahad semakin dirasai.

Seperti biasa, peminat ingin mengetahui ramalan daripada pengacara dan pelakon Neelofa memandangkan tiga tahun berturut-turut tekaannya tepat.

ARTIKEL BERKAITAN: Anta Permana, Ragaman tepati ramalan layak ke AJL 34

Menerusi laman Twitter, Neelofa meramalkan trofi juara AJL34 tahun ini akan menjadi milik lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel.

Neelofa turut meramalkan penyanyi Ernie Zakri akan memenangi anugerah Vokal Terbaik menerusi lagu Ku Bersuara.

Neelofa membuat ramalan untuk AJL34.

"Disebabkan ramai orang bertanyakan mengenai ramalan AJL saya untuk tahun ini, saya akan mengubahnya sedikit dan meramalkan pemenang terus.

"Ini senarai! #AJL34. AJL - Naim Daniel, Vokal Terbaik - Ernie Zakri," tulisnya di Twitter pada Ahad.

Ramalan yang dimuat naik bekas pengacara program MeleTOP ini mendapat lebih 500 retweet (ulang kicau) dan lebih 1300 tanda suka.

Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dan tidak sabar menantikan keputusan AJL34 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 9 malam ini.

Nama Ernie dan Naim antara yang disebut-sebut.

Tahun lalu, Neelofa berjaya meramalkan ketiga-tiga pemenang kedudukan teratas AJL33 iaitu lagu Haram (Hael Huzaini), Bunga (Ara Johari) dan Sampai Bila (Misha Omar).

AJL34 menyaksikan 12 lagu terbaik iaitu Hafiz Suip (Kisah Cinta Kita), Ernie Zakri (Ku Bersuara), Aina Abdul (Sumpah), Drama Band (Drama) dan Bob Yusof (Anta Permana).

Selain itu, Naim Daniel (Sumpah), Akim & The Majistret (Rampas), Haqiem Rusli (Lembah Kesepian), Aman Ra (Bangun), Fairuz Misran (Ragaman), Kugiran Masdo (Dinda) dan Hazama (Peneman).

Anugerah berprestij ini akan dihoskan oleh Awal Ashaari, Sherry Al Hadad dan Haziq.

Neelofa, Naim Daniel, Ernie Zakri, AJL34

Artikel Lain