suria

“Sudah maklumkan seminggu awal” - Kejutan Siti Nurhaliza di pentas AJL34 bukan gimik saat akhir

Kemunculan Siti di pentas AJL34 bukan gimik pada saat-saat akhir.

ISU mikrofon Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak berfungsi untuk beberapa saat ketika membuat kemunculan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 yang berlangsung pada malam, Ahad mengundang kemarahan netizen.

Pihak Siti Nurhaliza Production (SNP), menjelaskan kehadiran Siti di pentas berprestij itu bukan gimik saat akhir memandangkan mereka sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak produksi TV seminggu awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat teruja Tok Ti buat kemunculan di pentas AJL selepas 13 tahun tapi sayang mikrofon pula tak berfungsi!

Kata pengurus kepada Siti iaitu Rozi Abdul Razak, pihaknya juga sudah menghantar wakil untuk melakukan pemeriksaan bunyi untuk sesi latihan selama dua hari.

Kemunculan Siti mendapat sorakan dan tepukan gemuruh.

"Pihak SNP sudah memaklumkan kepada penerbit stesen TV mengenai kehadiran Siti tetapi tidak dinafikan hanya yang berkenaan saja tahu.

"Kami juga ada menghantar wakil untuk melakukan pemeriksaan bunyi dan mikrofon selama dua hari. Jadi, tak timbul soal gimik saat akhir.

"Sebab perkara ini juga sudah dimaklumkan seminggu sebelum malam AJL. Semua orang juga boleh tonton persediaan Siti di YouTube," katanya kepada mStar.

Kemunculan penyanyi terkenal itu di pentas AJL34 dengan menyampaikan lagu Anta Permana bersama Bob Yusof mendapat tepukan gemuruh penonton di stadium.

Kami juga ada menghantar wakil untuk melakukan pemeriksaan bunyi dan mikrofon selama dua hari. 

ROZI ABDUL RAZAK

PENGURUS SITI NURHALIZA

Bagaimanapun penonton di rumah meluahkan rasa tidak puas hati apabila suara Siti tidak kedengaran di penghujung persembahan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak menjelaskan kehadiran Siti adalah kejutan pada saat-saat akhir.

Johan memberitahu lagu Anta Permana sepatutnya akan dipersembahkan secara keseluruhan oleh Bob namun berlaku gimik dengan penampilan istimewa Siti yang juga penyanyi asal lagu itu.

"Ia gimik pada saat-saat akhir oleh Bob dan pasukannya. Jadi secara tidak langsung kru teknikal terpaksa membuat persiapan pada saat akhir kerana baru tahu mengenai kejutan itu.

Lagu ciptaan Hael dan Ezra mendapat tempat ketiga.

"Masalah teknikal yang dijangka berlaku apabila baris pertama nyanyian Siti tidak kedengaran namun ia berjaya diatasi selepas itu," katanya.

Dalam pada itu, pihak SNP mengucapkan terima kasih kepada TV3 kerana memuat naik video persembahan Anta Permana yang mempunyai suara Siti di YouTube mereka.

Kali terakhir Siti beraksi di pentas AJL pada 2008 iaitu AJL22 menerusi lagu Destinasi Cinta.

Anta Permana yang memenangi tempat ketiga AJL34 merupakan lagu ciptaan Hael Husaini bersama Ezra Kong.

Artikel Lain