suria

Belanja makan satu kedai, taja dakwah ustaz antara amalan Abam yang disembunyikan semasa hidupnya

Ali bercerita mengenai kebaikan dan amal yang dilakukan Abam.

TERLALU banyak rahsia dan amalan kebajikan yang dilakukan arwah Abam semasa hidup sehinggalah ia terbongkar satu persatu selepas meninggal dunia.

Menceritakan mengenai amalan yang dilakukan oleh Allahyarham, adiknya iaitu Ali Puteh mengakui Abam banyak melakukan amal jariah tanpa memberitahu kepada umum.

"Arwah Abam memang pemurah dan tak pernah berkira... benda ini dia tak pernah heboh pada sesiapa, dia tak pernah tunjuk atau beritahu orang... dia pernah kata dekat saya buat apa nak tunjuk nanti jadi tak best! Dia buat bukan sebab banyak duit, tapi sebab dia memang pemurah. Kena tipu pun ada tapi dia kata tak apalah Allah ada.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ibu sukar tidur, kakak ipar banyak berdiam” - Ali Puteh

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau aku mati tolong kebumikan tau” - Achey dedah pesanan terakhir Abam pada hari ulang tahunnya

"Saya tahu dia ada tanggung anak-anak yatim, Abam tak panggil sumbangan tapi dia kata duit belanja untuk adik-adik dia, selalu bertanya fasal adik-adiknya dah makan ke belum dan minta saya hantarkan makanan ke pusat tahfiz berhampiran rumah,” ujarnya. 

Selain itu, Ali berkata, arwah selalu melakukan amalan bersedekah yang kadang-kala tidak terfikir oleh manusia lain. 

Sebagai adik kandung, Ali mengakui hubungannya dengan Abam terlalu rapat dan akrab.

Katanya, arwah sering kali bersedekah dan belanja makan walaupun orang yang tidak dikenalinya. 

Kali terakhir arwah belanja lapan meja di sebuah kedai makan sempena hari jadinya pada Januari lalu. 

"Dia pernah pergi kedai mamak dan semasa itu ramai pelanggan, dia tak intai pun siapa ada dalam kedai makan tu, dia panggil pekerja suruh kira untuk semua orang yang makan dalam kedai itu dan bayar tapi dia minta orang kedai jangan beritahu dia belanja," katanya ketika ditemubual portal Malaysia Gazzete pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Ali berkata dia juga baru mengetahui Abam ada membantu memberikan dana kepada seorang ustaz untuk menyampaikan dakwah di Pahang.

Katanya pergerakan Ustaz itu menyampaikan ceramah dan kuliah ditanggung oleh arwah Abam. Itu sebab PU Azman menangis!

ALI PUTEH

ADIK ABAM

Perkara itu didedahkan oleh Pencetus Ummah (PU) Azman melalui panggilan telefon.

"PU Azman telefon saya dan dia diam sahaja, saya tanya kenapa diam... rupanya dia menangis dan meraung, dia menyampaikan pesanan kawannya, Ustaz Anas iaitu seorang penceramah bebas dari Pahang.

"Katanya pergerakan Ustaz itu menyampaikan ceramah dan kuliah ditanggung oleh arwah Abam. Itu sebab PU Azman menangis, bayangkan kita bukan belanja orang pergi bercuti tapi dia tanggung untuk kuliah agama," katanya.

Ribuan hadir semasa pengebumian arwah.

Sementara itu, berkongsi cerita mengenai pengalaman menguruskan jenazah Abam , Ali berkata dia terkejut dan tidak menyangka ribuan manusia hadir memberikan penghormatan terakhir.

"Cemburunya orang ramai atau alim ulama bukan sebab dia mati tapi cara Allah ambil dia yang sangat luar biasa dengan keadaan ribuan manusia yang datang, di hospital boleh dikatakan semua kakitangan turun untuk melihat dan sedekahkan Al Fatihah, saya yang bersama arwah dari hospital merasakan ini benda luar biasa.

"Bila kami dalam perjalanan pulang ke rumah, keadaan jalan sesak teruk, ingatkan orang nak keluar ke tol Gombak tapi rupanya mereka nak ke masjid untuk tengok arwah... sampai sahaja di masjid semua orang membantu yang mana kebanyakan mereka yang datang saya tak kenal.

"Saya selalu uruskan dan mandikan jenazah keluarga dan saudara mara, tapi untuk Abam saya tak mampu dan hanya boleh tengok sahaja, satu benda yang tak jangka bila keluar bilik mandi terlalu ramai orang menunggu dan di depan pintu ada lebih kurang 40 orang anak-anak tahfiz setia menunggu... saya tengok setiap wajah dan rasa macam kenal, rupanya mereka ini anak-anak yatim yang arwah tanggung dulu," ujarnya.

Meskipun sudah hampir seminggu pemergian arwah, Ali berkata mereka sekeluarga masih menerima kehadiran tetamu yang datang dari jauh semata-mata ingin menziarah kubur Allahyarham.

Abam bersama ibu dan isteri tersayang.

"Daripada hari pertama dia meninggal sampailah sekarang masih ada yang datang ke rumah kami, mereka semua orang luar dari Kuala Lumpur dan tak pernah jumpa Abam... ada yang naik motosikal sanggup menunggang jauh semata-mata nak ziarah.

"Semasa majlis tahlil tempoh hari, ada seorang mak cik dari Sabah sanggup terbang datang ke sini. Sampaikan penjaga kawasan kubur dan siap-siap sediakan kerusi untuk tetamu menziarah.

"Begitulah Allah gerakkan hati mereka untuk datang walaupun ada yang sibuk dengan kerja. Allah angkat darjat dia dan mungkin ia boleh jadi pengajaran untuk kita, setiap orang akan mati tapi kita tak tahu macam mana pengakhiran kita," katanya.

Pada Isnin lalu, Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak selepas dua hari mengalami demam panas.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nor Hidayah dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan.

Abam, Ali Puteh

Artikel Lain