suria

“Ya Allah Ya Tuhanku... mana pergi iman aku waktu tu?” - Leina Hangat imbau zaman pakai baju seksi, aksi berani atas pentas

Leina yakin sejarah perjalanan hidupnya akan membuatkan dia menjadi manusia yang lebih baik.

SEPERTI nama pentasnya, Leina Hangat sentiasa menjadi perhatian dengan imej seksi dan aksi berani ketika membuat persembahan sekitar era 1990-an.

Tatkala mengimbau semula sewaktu namanya menjadi sebutan, Leina atau nama sebenar Nor Azlina Abdul Rahman mengakui ketika itu dia tidak mempunyai keimanan yang teguh.

ARTIKEL BERKAITAN: Leina Hangat Berhijab, Enggan Lihat Gambar Lama

Bagaimanapun bagi Leina, setiap manusia akan diberi ujian dan dugaan daripada Allah untuk menjadikan diri lebih baik.

Leina terkenang zaman popularitinya.

"Bila saya google nama sendiri di Internet... terus terdetik dalam hati, Ya Allah Ya Tuhanku... mana pergi iman aku waktu itu?

"Tapi mungkin ketika itu Allah menguji saya. Setiap manusia pasti akan diuji dan apabila tiba masanya sudah pasti kita kena kembali padaNya.

"Bagi saya, apa saja ujian yang diberikan kita kena terima dan yakin satu hari nanti ia boleh menjadikan kita manusia lebih baik," katanya kepada mStar.

Bagi saya, apa saja ujian yang diberikan kita kena terima dan yakin satu hari nanti ia boleh menjadikan kita manusia lebih baik.

LEINA HANGAT

PENYANYI

Leina ditemui ketika majlis pelancaran koleksi baharu jubah dan pakaian Munawwareen di St Mary, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Ceria Dalam Gundah mengambil keputusan untuk berhijab pada 2010 dan sehingga kini masih mengekalkan penampilan itu.

Dalam pada itu, Leina mengakui dia pernah berasa segan untuk memperkenalkan dirinya sebagai 'Leina Hangat'.

Leina masih menerima tawaran menyanyi.

"Kalau nak kenalkan diri dengan nama penuh, orang tak kenal. Tapi apabila nak sebut Leina Hangat tu, demi Allah saya rasa malu.

"Tapi disebabkan orang dah kenal dengan nama itu, saya terpaksa akur saja. Bagi saya, tak mengapa asalkan nama dalam kad pengenalan ada maksud yang baik.

"Orang nak gelar atau panggil saya Leina suam-suam kuku ke Leina hangit ke, saya tak kisah. Asalkan bukan yang tidak baik," ujarnya.

Leina Hangat

Artikel Lain