SETELAH tiga tahun menyimpan idea untuk menghasilkan kek gantung atau chandelier cake, akhirnya pemilik Lily & Lola Cakes merealisasikan idea itu semasa majlis resepsi pasangan pelakon Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Redza. Menurut pemiliknya, Lily Osman, 28, proses pembuatan kek tersebut tidaklah terlalu sukar namun apa yang mencabar ialah proses untuk menggantung kek setinggi lapan tingkat itu. "Idea nak buat kek gantung ini sudah difikirkan sejak tiga tahun lalu cuma kami mencari majlis yang sesuai. Rezeki saya dan Zahirah apabila kebetulan semuanya konsep ini kena dengan majlis mereka, jadi kita realisasikan idea itu. ARTIKEL BERKAITAN: Zahirah MacWilson selamat bergelar isteri Aiman Hakim Ridza ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak tahu cerita ‘belakang tabir’ kek kolam air Elly Mazlein - “Lampu tak berfungsi, mujur sempat turn on” "Kek itu dihasilkan dalam masa seminggu tapi nak menggantung yang agak sukar dan mengambil masa lebih sejam. Ia perlu dipastikan benar-benar kukuh supaya tak jatuh kerana graviti dan memerlukan beberapa orang untuk menggantungnya. "Macam mana teknik kita buat supaya kek itu kukuh dan tidak jatuh? Itu ada caranya! Apa pun mujurlah pihak perancang perkahwinan, Mahligai Creative banyak membantu dan memudahkan proses persiapan di dewan tersebut," katanya kepada mStar. Netizen puji hasil rekaan kek perkahwinan Zahirah dan Aiman. Sebelum itu, menerusi laman Twitter, tular beberapa keping foto dan video kek perkahwinan pasangan pelakon tersebut. Ia menarik perhatian netizen apabila kek tersebut yang disangkakan lampu candelier turun dari atas semasa upacara memotong kek. Apabila kek ini viral secara tidak langsung dapat membuka mata orang ramai mengenai bakat orang Malaysia! LILY OSMAN PEMILIK LILY & LOLA CAKES Ditanya mengenai harga, Lily berkata setiap kek memiliki harga berbeza mengikut kepada bajet dan permintaan pelanggan. Bagaimanapun, dia tidak menolak rekaan kek sedemikian boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit. Kek perlu dipastikan kukuh supaya ia tidak jatuh apabila digantung. "Kek perkahwinan Zahirah itu tak boleh nak dedahkan harga kerana perjanjian dengan pelanggan kami. Sebenarnya, harga untuk setiap kek berbeza dan ia tertakluk kepada saiz, rekaan dan material yang akan digunakan. "Untuk kek yang lebih kurang macam itu harga mungkin boleh mencecah puluhan ribu... tapi semuanya mengikut kepada bajet dan permintaan pelanggan. "Apabila kek ini viral secara tidak langsung dapat membuka mata orang ramai mengenai bakat orang Malaysia... kalau nak tahu pembuat kek di Malaysia pun boleh hasilkan kek dengan rekaan yang unik dan mencabar," ujarnya yang memulakan perniagaan Lily & Lola Cakes bersama adiknya, Alya Osman sejak beberapa tahun lalu. Pada Khamis lalu, pasangan pelakon tersebut selamat disatukan sebagai suami isteri dan majlis resepsi telah diadakan pada Jumaat.