suria

Label Sudirman penyanyi nombor satu, Noraniza Idris dikecam sindir Siti Nurhaliza - “Saya berhak untuk menulis apa sahaja”

Noraniza berharap netizen berhenti mencetuskan provokasi antara dia dan Siti Nurhaliza.

TINDAKAN penyanyi Noraniza Idris berkongsi foto lukisan kartun dia bersama legenda Datuk Sudirman Arshad dengan kapsyen melabelkan Allahyarham sebagai 'penyanyi nombor satu' mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, 52, didakwa sengaja menimbulkan provokasi terhadap penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan peminatnya di Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan orang yang berkira, kalau percuma pun tiada masalah!” - Noraniza Idris kesal isu bayaran tinggi Konsert Karya Agung Pak Ngah

Noraniza ketika dihubungi mStar memberitahu, dia tidak menyangka penulisannya itu disalah erti dan dimanipulasikan netizen sehingga dirinya dianggap sengaja ingin bersaing dengan penyanyi berkenaan.

Kapsyen yang ditulis Noraniza mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.

"Penulisan itu ditulis secara peribadi dengan menggunakan bahasa santai. Saya tidak mahu terlalu formal dan bataskan penulisan sehingga terpaksa jadi hipokrit.

"Tapi tak sangka pula gelaran yang saya tulis Sudirman adalah penyanyi Asia nombor satu Malaysia itu disalah erti dan mula dimanipulasi.

"Ada komen netizen yang buat saya rasa tersentap kerana dianggap 'gigih' nak berlawan dengan seseorang. Saya rasa tercabar tetapi malas nak layan sangat.

"Sebab itu saya ada muat naik satu lagi status yang mengatakan saya berhak untuk menulis apa sahaja dan tidak perlu kecam," katanya kepada mStar.

Niat saya berkongsi itu sebagai tanda penghormatan kepada arwah Sudirman.

NORANIZA IDRIS

PENYANYI

Sebelum ini, kapsyen di foto lukisan kartun Allahyarham Sudirman bersama Noraniza yang dimuat naik penyanyi itu mengundang perbalahan dalam kalangan peminat Siti Nurhaliza.

Menerusi laporan Harian Metro, Siti meminta peminatnya bertenang dan tidak bertindak melulu dalam menulis sebarang komen di laman sosial terutama berkaitan isu melibatkan Noraniza.

Kata penyanyi Anta Permana itu, dia menyedari ada segelintir netizen yang bukan dalam kalangan peminatnya yang meninggalkan komen berbentuk provokasi.

Dalam pada itu, Noraniza memberitahu dia hanya mampu bersabar dengan komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Noraniza berkongsi foto kenangan bersama arwah Sudirman.

Noraniza turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tergores hati dengan penulisannya dan menjelaskan perkongsian itu sekadar memberi tanda penghormatan kepada Allahyarham Sudirman.

"Bila dah masuk kisah busuk hati, AJL kalah makan hati... Astaghfirullah, saya mampu mengucap saja. Bahasa-bahasa mereka nauzubillah.

"Macam itu ke budak-budak sekarang meletakkan kita sebagai orang lebih tua di tapak kaki mereka sahaja. Terlalu taksub dengan perkataan nombor satu dan sengaja cetuskan isu.

"Apa-apa pun, saya mohon maaf jika ada yang tergores hati. Niat saya berkongsi itu sebagai tanda penghormatan kepada arwah Sudirman.

"Sebagai peminat arwah, sudah tentu saya teruja dan tak nak lepaskan peluang kongsikan kenangan itu di Instagram," ujarnya.

Artikel Lain