suria

Drama Thailand 'Deja Vu' boleh ditonton secara percuma di dimsum entertainment sempena Hari Wanita Sedunia

Wynn dan Jane dalam drama Deja Vu.

DRAMA bersiri baharu berjudul Deja Vu menjadi pembuka tirai bulan Hari Wanita Sedunia ini sedang ditayangkan di platform dimsum entertainment.

Drama Thailand ini mengisahkan tentang pasangan kekasih bernama Jane lakonan Esther Supreeleela dan Wynn lakonan Nawat Kulrattanarak yang mula mengenali hati budi masing-masing selepas Jane menyelamatkan Wynn daripada kebakaran. 

ARTIKEL BERKAITAN: Dimsum terbangkan artis Thailand

ARTIKEL BERKAITAN: “Selamat datang sayang” - Peminat menjerit tak keruan bila Tor cakap Melayu

Sejak tragedi itu, mereka mula menjalinkan hubungan cinta dan Wynn melamar Jane di sebuah tasik. Ironinya, mereka mengalami kemalangan jalan raya selepas kembali dari tasik dan Wynn meninggal dunia.

Jane kembali ke tasik dan berdoa untuk bertemu dengan Wynn. Tiba-tiba seorang bidadari muncul di hadapannya dan menawarkan Jane untuk kembali ke masa lampau tetapi dengan syarat dia tidak boleh jatuh cinta dengan Wynn.

Wynn melamar Jane di sebuah tasik dan menjalin hubungan cinta.

Selain itu beberapa drama bersiri popular lain turut ditayangkan di platform berkenaan seperti Different Dreams, After The Stars, dan The Little Nyonya.

Drama Different Dreams dibintangi oleh Lee Yo Won, Yoo Ji Tae, Lim Ju Hwan, Nam Gyu Ri, mengisahkan tentang dua peristiwa yang membuka pintu kemerdekaan Korea yang mewujudkan kumpulan persenjataan rahsia yang diberi nama Heroic Corps.

Manakala drama After The Stars pula mengisahkan tentang seorang bintang bernama Tian Ai yang sukar untuk mengetengahkan bakatnya dalam bidang hiburan kerana di halang oleh artis senior.

Drama akan datang, The Little Nyonya pula mengisahkan tentang anak yatim berketurunan Peranakan Melaka, Yue Niang, menjalani hidup pada zaman Perang Dunia dan membesar di bawah jagaan neneknya.

Yue Niang membesar menjadi wanita yang jelita dan kecantikannya dicemburui oleh kaum keluarganya sendiri. Sehingga mereka sanggup mendera dan menjual Yue Niang kepada seorang pemotong daging bernama Liu Yi Dao.

Enggan berdiam diri, Yue Niang mula belajar menguruskan perniagaan dan cuba menyelamatkan perniagaan keluarganya daripada jatuh merudum.

Deja Vu, Dimsum

Artikel Lain