PERINTAH Kawalan Pergerakan memberi kesan kepada penyanyi Fitri Haris yang tidak dapat menghantar anaknya iaitu Sofea Solehah pulang ke Singapura. Menerusi Instagram Fitri, 36, memberitahu biarpun sudah menghubungi semua kenalan di pihak berkuasa namun anaknya hanya boleh dibenarkan pulang dengan menaiki kapal terbang sahaja. ARTIKEL BERKAITAN: Fitri Haris nikah pengurus sendiri selepas 3 kali menduda - “Solat istikharah hanya nampak wajah dia” Lebih menyedihkan apabila dia tidak dibenarkan untuk menemani Sofea yang kini berusia 16 tahun. Fitri berkongsi perkara itu di IG pada Jumaat. "Ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan, kami berada di Kedah dan apabila saya mahu menghantar Sofea pulang, semua jalan darat, imigresen tutup tak boleh masuk. "Saya berasa hiba, saya cuba menghubungi semua kenalan di pihak berkuasa, tiada satu jalan pun selain penerbangan. Cuma yang membuatkan saya sedih, saya tidak boleh teman. "Walaupun jika orang Singapura ke KLIA dengan penerbangan dan balik semula Singapura untuk ambil Sofea mereka pula kena self quarantine 14 hari," katanya. Sofea Solehah merupakan anak Fitri hasil perkahwinan terdahulu dan tinggal bersama ibunya di Singapura. Saya berasa hiba, saya cuba menghubungi semua kenalan di pihak berkuasa, tiada satu jalan pun selain penerbangan. FITRI HARIS PENYANYI Pada Disember tahun lalu, Fitri berkahwin dengan pengurusnya iaitu Fazilah Omar selepas lapan tahun menduda. Susulan penularan wabak Covid-19 semakin serius di Malaysia, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula Rabu sehingga 31 Mac depan. Dalam pada itu, Fitri berkata dia sudah cuba untuk menyelesaikan masalah itu namun terpaksa akur Sofea terpaksa pulang seorang diri. Bagaimanapun, dia akhirnya berasa lega dan syukur apabila syarikat penerbangan itu menawarkan seorang pembantu yang akan menemani anaknya dengan selamat. "Ke sana ke sini saya cuba menyelesaikan, akhirnya terpaksa akur dan dalam keadaan tidak boleh terima, Sofea terpaksa balik seorang dengan penerbangan. "Bawah umur dan tak pernah saya membiarkan Sofea sendiri. Ujian Allah cuma melegakan hati saya sedikit apabila Malaysia Airlines ada menawarkan pembantu bawa Sofea sampai ke tempat duduk dan bila sampai nanti ada pembantu bawa ke mamanya. "Syukur sangat-sangat tapi masih hiba dan sedih bila nampak susuk badan Sofea hilang dari pandangan," ujarnya.