suria

Aishah mula catu makanan di rumah - “Sanggupkah kita biarkan suami terdedah Covid-19?”

Aishah ada cara tersendiri dalam mengurangkan risiko keluarga terdedah dengan jangkitan Covid-19.

MEMASUKI hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi Aishah memberitahu dia mula membuat catuan makanan untuk keluarganya di rumah.

Menurut Aishah, tindakan itu berikutan ingin mengurangkan risiko ahli keluarga yang lain terdedah dengan jangkitan Covid-19 ketika mendapatkan keperluan barangan asas.

"Saya ambil keputusan untuk mencatu stok makanan di dalam rumah kami. Ini bukanlah masa nak suka-suka masak macam nak raya pula. Kenapa saya kata begitu? Kalau kita ibu-ibu asyik masak macam-macam sudah tentu barangan keperluan kita cepat habis.

ARTIKEL BERKAITAN: Aishah dipanggil ‘orang tua sakai’ - “Kalau berani berdepan dengan saya and say this to my face!”

"Maka ketua keluarga terpaksa keluar untuk membeli barang makanan. Ini bermakna kita meletakkan suami, anak, ketua keluarga kita dalam risiko jangkitan Covid-19.

"Anggaplah bila kita minta ketua keluarga pergi membeli barang keperluan kita (ibarat) menghantar mereka ke medan perang... sanggup ke kita senang-senang saja minta mereka keluar fasal kita nak makan sedap-sedap?," katanya.

Perkongsian Aishah di Instagram menarik perhatian pengikut.

Penyanyi lagu Janji Manismu ini berkongsi pandangannya itu menerusi Instagram.

Sementara itu, Aishah turut mencadangkan setiap keluarga berjimat cermat dan tidak membazirkan makanan sepanjang berdepan tempoh PKP ini.

"Yang ramai anak-anak di rumah mungkin boleh catu makanan setiap hari, mungkin kita kumpulkan makanan yang boleh dimakan untuk hari ini sahaja.

"Umumkan pada ahli keluarga boleh makan banyak itu sahaja hari ini, secara automatik kita akan berpada-pada apabila makan, bukannya makan macam tak ada hari esok! Begitulah juga esok dan lusa," ujarnya.

Aishah bersama suami dan anak-anak.

Dalam pada itu, bekas juara program Gegar Vaganza musim keempat ini berkata ibu dan isteri boleh mempelbagaikan kreativiti dalam menyediakan juadah untuk keluarga.

"Yang pandai memasak mungkin boleh kongsi resepi-resepi makanan menggunakan bahan paling kurang. Saya percaya ramai yang kreatif, jom kita 'create' resipi murah dan mudah untuk famili kita.

"Kalau kita amalkan ini, kurang keraplah orang tersayang kita terpaksa keluar buat masa ini. Juga, ianya boleh menimbulkan rasa empati kepada kawan-kawan kita yang kurang kemampuan. Stay safe, stay healthy, stay home," katanya.

Aishah, Covid-19

Artikel Lain