suria

Jasmin Hamid gelar 'cleaner' sebagai wira tak didendang, tanggung risiko Covid-19 dengan gaji yang rendah

Jasmin bangga melihat petugas kebersihan masih menjalankan tugas biarpun berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

PERANAN petugas barisan hadapan (frontliner) seperti doktor, jururawat, polis dan tentera dalam memerangi Covid-19 tidak perlu dipersoalkan lagi.

Malah, pelakon Jasmin Hamid turut menganggap petugas kebersihan (cleaner) juga merupakan barisan hadapan atau wira yang perlu diberi penghormatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dirawat di Hospital Muar korban ke-15 Covid-19

Pelakon drama Pesan Pada Hati itu berkata, petugas-petugas kebersihan itu sanggup berdepan risiko dijangkiti biarpun dibayar dengan gaji yang rendah.

Terima kasih kepada semua cleaner yang bertugas pada masa yang kritikal ini. 

"Kadang-kadang kita terlupa bahawasanya ada wira di sebalik wira... Mereka juga berkorban nyawa dan masa untuk pastikan semuanya sentiasa bersih dan selamat.

"Dengan gaji yang tak mahal, mereka tetap lakukan demi tugas dan tanggungjawab. Terpaksa berpanas dengan baju keselamatan yang harus dipakai," katanya.

Jasmin turut berkongsi sebuah artikel berkaitan petugas kebersihan yang disifatkan sebagai wira tak didendang.

Rata-rata netizen di laman sosial meluahkan rasa bangga melihat pekerja kebersihan itu melakukan tugasan mereka biarpun mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti virus tersebut.

Terima kasih kepada semua cleaner yang bertugas pada masa yang kritikal ini. 

JASMIN HAMID

PELAKON

Perkongsian Jasmin di laman Instagram miliknya pada Selasa turut mengundang perhatian pengikutnya yang sama-sama mendoakan keselamatan semua petugas yang terlibat dalam menangani Covid-19.

Dalam pada itu, Jasmin juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kebersihan yang berkerja dalam situasi yang semakin kritikal.

"Terima kasih kepada semua cleaner yang bertugas pada masa yang kritikal ini. Boleh bayangkan keadaan di hospital kalau mereka tiada?" ujarnya.

Sejak 18 Mac lalu, seluruh rakyat Malaysia perlu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Artikel Lain