suria

Nizam Laksamana bawa keluarga buat saringan, bapa mertua sah positif Covid-19 - “Sehari sebelum PKP saya jumpa dia di kampung”

Nizam akur dengan arahan kerajaan mendapatkan saringan jika ada hubungan dengan pesakit.

GARA-GARA mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, penyanyi Nizam Laksamana dan keluarganya bergegas ke hospital bagi menjalani ujian saringan.

Kata Nizam bapa mertuanya disahkan dijangkiti Covid-19 pada Isnin.

"Bapa mertua dimasukkan ke wad semalam.... hari ini (Selasa) pukul 10 pagi saya, isteri dan dua anak perempuan akan membuat saringan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa saudara Muaz Mohamed korban ke-7 akibat Covid-19 - “Benda saya paling takut terjadi juga”

"Ini kerana kami ialah casual contact dengan bapa mertua yang positif Covid-19," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Bersama status tersebut, bekas peserta program Gegar Vaganza musim kedua ini turut memuat naik sekeping foto ketika menjalani saringan tersebut.

Sementara itu, Nizam memberitahu dia dan keluarga pulang ke kampung bertemu bapa mertuanya itu sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa di Malaysia pada 18 Mac lalu.

Perkongsian Nizam di Facebook mengejutkan ramai pengikut.

"Sehari sebelum perintah PKP saya ada berjumpa dengan mertua di kampung. Kami reda dan akan mengikut seperti arahan pihak berwajib.

"Kami tak ingkar kerana kami tahu tanggungjawab untuk kesejahteraan orang lain.

"Semoga Allah SWT melindungi kami dengan rahmatNYA," ujarnya.

Rata-rata pengikutnya di laman tersebut mendoakan supaya Nizam bebas daripada jangkitan virus tersebut.

Malah ada juga yang memuji sikap bertanggungjawab penyanyi lagu Gugurnya Bunga Cinta ini yang segera ke hospital mendapatkan saringan awal.

Sehingga Isnin, sebanyak 156 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah 2,626 kes di Malaysia setakat ini.

Ia menyaksikan jumlah kematian sebanyak 37 kes, manakala seramai 479 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

Nizam Laksamana

Artikel Lain